Kami hanya ada seorang anggota wanita, jadi 'Cherry On Top' ibarat ceri tu wanita yang kami hormati.
KUALA LUMPUR, 23 Julai 2024 – Sudah sekian lama industri muzik arus perdana tanah air tidak diperdengarkan dengan band multi bakat semuda Cherry On Top yang membuka banyak mata sejak single mereka, Ketagih dilancarkan.
Setahun penggabungan, memperkemaskan penampilan, enam anak muda ini yang berkongsi minat mendalam terhadap seni nyata tidak menduga kejutan yang menanti apabila pesona sehebat Datuk Syafinaz Selamat sedia berkolaborasi.
Dimuatkan di dalam EP sulung mereka, Ketagih, bersempena single ciptaan Kusham dan lirik oleh Syafinaz Selamat itu, ia seolah booster buat band yang turut disertai gitaris, Osama, 23; pemain dram, Ayen Tommy, 25; penyanyi utama, Holy, 23 selain pasangan adik beradik, Didi, 22, dan Bobo, 18, masing-masing bermain gitar dan bass.
Diterbitkan oleh Kusham, EP keluaran syarikat rakaman One Scream Studio itu memuatkan lima lagu, iaitu Mengintai Rahsia, Menunggu dan Resolusi, selain Ketagih (Extended Version). Cherry On Top merupakan artis pertama One Scream Studio yang diasaskan oleh Kusham dan Zaira Aziz.
Kesediaan Syafinaz untuk berkolaborasi jelas bermakna, terutamanya buat Holy atau nama sebenarnya, Adriana Audrey Michael. Dia malah terpaksa mencubit lengannya untuk memastikan bahawa dia tidak bermimpi.
Rock, menurut Kuzan, menjadi asas kepada personaliti band, diadun dengan kecenderungan mereka yang meliputi daripada pop, fusion, malah Rhythm & Blues sebelum sama-sama menemukan titik persamaan, iaitu rock progresif.
Ini juga, akuinya, tanpa menafikan hakikat bagaimana band ini memberi makna baharu kepada bidalan “ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi” dengan hampir kesemua ahlinya merupakan penerus legasi keluarga.
Kuzan sendiri, misalnya mewarisi bakat bapanya, Raja Sham, Pengarah Muzik terkenal yang juga seorang gitaris, komposer, penyusun dan programmer muzik, selain menjadi Pemuzik Kanan, Orkestra RTM. Ibunya, Zaira Aziz adalah guru vokal (Muzik) dan sering mengiringi persembahan penyanyi terkenal, selain mahir bermain flute dan turut menghasilkan lirik lagu.
Juga Osama yang lebih dulu mencipta nama sebaga penyanyi, pemain gitar dan pelakon sejak diperkenalkan bapanya, penyanyi legenda, Dato Jamal Abdillah, mahu pun Ayen yang diinspirasi bapanya, Black, iaitu pemain dram band rock popular, Wings.
Atau, bagaimana studio muzik menjadi sekolah pertama Didi dan Bobo kerana penglibatan bapa dalam industri rock, termasuk menguruskan band seperti DEF-GAB-C dulu. Seperti juga Holy yang dibesarkan dalam keluarga yang bergelumang dengan muzik.
Justeru, kombinasi pelbagai genre yang menjadi kecenderungan dan legasi sebagai amanah yang perlu digalas, jelas Kuzan lagi, telah membawa kepada nama Cherry On Top sebagai pengenalan.
“Ditubuhkan asalnya dengan nama Rock Ages, nama itu dirasakan tidak begitu komersial untuk dibawa menerobosi pasaran. Sedang tercari-cari nama yang sedap didengar, sesuai dengan prinsip, divisualkan pula dengan kehadiran Holy sebagai vokalis dan satu-satunya wanita dalam kalangan kami, lelaki, maka lahirlah Cherry On Top,” katanya.
Cenderung kepada penulisan lagu, jelas Kuzan yang meminati nyanyian sejak kecil, dan kini membuat pengkhususan pengajian dalam penggubahan, menyedari kedudukan dimiliki orang tua atau keluarga dalam seni tidak bermakna segalanya mudah buat mereka.
Didi, gelaran bagi Muhammad Danish Danial, kala menjelaskan mengapa Cherry On Top tidak boleh diperkecilkan, berkata, “Kerana kami akan memperdengarkan nafas baharu, daripada segi susunan muziknya, melodinya. Ketagih berbaloi untuk dihasilkan dan didengarkan.
EP Ketagih kini boleh didengari di semua platform digital, selain dalam bentuk fizikal yang terhad dan akan dilancarkan kelak. Cherry On Top boleh diikuti di FB, selain IG menerusi cherryontop_band atau ikuti juga Once Scream Studio di FB dan Tik Tok untuk info.
Comments
Post a Comment