UNCURE menzahirkan solidariti terhadap saudara di Palestin di showcase 'Palestin Hak Yang Dinafikan'.
Oleh: Norazni Ismail.
KUALA LUMPUR 22 Ogos 2024 – Atas kesedaran untuk turut sama menzahirkan
solidariti terhadap saudara di Palestin, maka terlahirlah karya yang bertajuk
'Palestin : Hak Yang Dinafikan' oleh band Uncure yang dianggotai oleh Taiyuddin Bakar
(vokalis), Anaz (gitar), Macik (drum) dan Hakim (bass). Sebagai
kesinambungannya , mereka bakal membuat persembahan Showcase Uncure: Palestin
Hak Yang Dinafikan pada 14 September 2024 di Warisan Hall Studio, Teluk
Panglima Garang, Selangor.
Bukan sekadar menyatakan solidariti, Uncure juga berharap agar melalui showcase itu, ukhwah diantara mereka yang bersama-sama dengan Palestin juga dapat terjalin. Showcase dianjurkan oleh Onz Management dengan kerjasama Persatuan Inspirasi Muallaf itu juga berhasrat menyumbangkan keuntungan jualan tiket kepada Kedutaan Palestin di Malaysia.
Untuk rekod, band Uncure telah ditubuhkan pada tahun 1996 dan popular dalam scene underground tempatan. Sepanjang 28 tahun ditubuhkan band ini telah beberapa kali menukar anggota termasuk vokalisnya.
Bahkan band Uncure pernah berehat seketika disebabkan penularan virus Covid-19 sebelum kembali aktif pada 2023 dan showcase ini merupakan kemunculan sulung pelakon Taiyuddin Bakar atau Tai sebagai vokalis baharu band Uncure.
“Showcase ini bertujuan menggabungkan kelompok yang berbeza asal serta latar belakanh dalam satu acara dengan maksud yang sama iaitu muzik dan solidariti bersama Palestin. Ini membuktikan band underground juga ada suara dalam memperjuangkan isu Palestin,” ujar Tai.
Dalam pada itu, showcase ini turut diadakan sempena pelancaran EP berjudul Hak Yang Dinafikan, yang telah dilancarkan di semua platform digital pada 17 Julai lalu. Antara lagu yang terkandung dalam EP tersebut adalah, Palestin Hak Yang Dinafikan, Bengang, Bersama Selamanya, Bersatu dan Oh MakCik.
Mengikut perancangan dalam persembahan berdurasi dua jam setengah bermula pukul 8.45 malam itu, band Uncure akan mendendangkan 10 buah lagu beserta selingan persembahan oleh DJ Soul Boss.
Sungguhpun begitu penonton boleh berada di Warisan Hall Studio seawal pukul 5 petang untuk mengikut aktiviti solidariti yang diadakan sebelum showcase bermula.
Tiket-tiket berharga RM89 (early bird) dan RM100 selepas 25 Ogos 2024 boleh dibeli secara terus menerusi akaun media sosial rasmi band Uncure iaitu Uncure_kugiran (Facebook/Instagram/Youtube) dan Uncure (TikTok) atau hubungi talian, 013 361 6440 – Rara
Taiyuddin dari pelakon jadi penyanyi
Sudah pasti ramai yang tidak menyangka Tai yang sebelum ini cukup popular dengan filem Apa Celop Toqq.. dan Hantu Bonceng kini bergelar vokalis band yang mengusung genre Rock/ Oi! / Ska / Punk.
Menurut Tai, dia menerima tawaran menyertai band Uncure
kerana percaya dengan kekuatan karya-karya Anaz yang cukup popular dalam scene
underground selain mengambil peluang untuk menonjolkan sisi berbezanya kepada
peminat.
“Kami semua bukan muda lagi, jadi saya mahu beri sehabis baik dan lihat berapa jauh band Uncure boleh pergi. Mungkin dengan cara ini kami akan menerima peminat yang baharu. Kami juga bersedia dengan apa jua respon yang bakal kami terima... Namun yang lebih penting bagi kami adalah karya kami dapat dikongsi kepada khalayak serta berharap agar ada manfaat disebaliknya.” kongsi Tai.
Comments
Post a Comment