IZZWAN JUARA PERTANDINGAN TERPALING SOLO CONTEST ANJURAN CK MUSIC dan EPIPHONE.

Izzwan Bin Nik Nizam (juara) bergambar bersama wakil CK Music, Epiphone dan Eddrie Hashim


Oleh: Eqmal Ezad.

KUALA LUMPUR 17 MEI 2025 - Pertandingan Terpaling Solo Contest anjuran CK MUSIC dan EPIPHONE serta di juri oleh Eddrie Hashim telah berlangsung dengan jayanya baru-baru ini yang menyaksikan penyertaan lebih 50 orang pemain gitar dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Menurut juri pertandingan, Eddrie Hasim, pertandingan yang diadakan di CK Music ini bertujuan memberi platform kepada pemain-pemain gitar tempatan untuk menunjukkan bakat mereka yang selama ini hanya tersembunyi. Pertandingan yang bermula selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dan berakhir pada 5 Mei itu menerima sambutan yang luar biasa terutama melalui promosi di media sosial dan acara kemuncak ‘Terpaling Solo Contest’ telah diadakan pada 17 Mei 2025 bertempat di CK Music Showroom, Kuala Lumpur.

Daripada lebih 50 penyertaan yang diterima, pihak penganjur telah menyenarai pendek 11 peserta untuk ke peringkat akhir termasuk empat peserta dari Sabah dengan tiga daripada mereka telah membuat penerbangan khas ke Kuala Lumpur untuk pertandingan ini. Selain itu, terdapat juga peserta dari Penang, Melaka dan wakil dari Sarawak yang kini menetap di Sabah. Menurut Eddrie, kesemua finalis menunjukkan bakat luar biasa dalam teknik permainan gitar, dan beliau sangat berpuas hati dengan pencapaian mereka walaupun ada yang perlu memperbaiki aspek melodi dalam persembahan.

Lima pemenang bergambar bersama wakil CK Music, Epiphone dan Eddrie Hashim.

Hadiah menarik menanti para pemenang dengan juara pertama akan menerima gitar bernilai RM3,000, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima gitar dan amplifier. Hadiah juga disediakan sehingga tempat kelima sebagai inisiatif untuk merangsang industri gitar di Malaysia. Penganjuran pertandingan ini dilihat sebagai satu permulaan yang baik untuk menggalakkan lebih ramai pemain gitar tempatan tampil ke hadapan memandangkan kos penyertaan yang minimum iaitu hanya perlu memuat turun lagu, merakam video dengan telefon bimbit dan menghantar penyertaan.

Dalam komen beliau terhadap para peserta, Eddrie menekankan bahawa kebanyakan pemain menunjukkan kehebatan teknikal dan 'shredding', namun beliau berharap mereka boleh memberi lebih tumpuan kepada aspek melodi. "Dia kena macam mana pun, macam mana technical pun, kita kena tastefully done. Kena taste. Ada taste tu. Kalau aku tengok dia ada main melodi dan dia masukkan technical, aku tahu dia ada taste," kata Eddrie yang juga menyatakan bahawa misi untuk mengajak pemain-pemain gitar keluar dan menunjukkan bakat mereka telah berjaya.

Sebelas peserta akhir bergambar bersama wakil CK Music, Epiphone dan Eddrie Hashim.

Eddrie turut berkongsi harapan beliau untuk industri gitar tanah air dengan menegaskan pentingnya perpaduan dalam kalangan pemain muzik. Beliau berimpian untuk mewujudkan platform seperti 'Favourite Nation' oleh Steve Vai yang boleh mempromosi pemain-pemain gitar tempatan ke peringkat antarabangsa. "I think it's actually my dream to do that. Untuk buat macam Steve Vai ada Favourite Nation. They can do that. Dia jual satu dunia. It takes a lot of unity," katanya. Eddrie juga menyatakan minatnya terhadap pemain gitar moden dan bukan hanya tertumpu pada muzik lama, malah beliau berharap dapat memperjuangkan muzik-muzik baru di masa hadapan. Walaupun tiada perancangan khusus untuk para pemenang buat masa ini, pihak penganjur menyatakan mereka menilai juga kehadiran media sosial para peserta dan cara mereka merakam persembahan. Jika peserta mempunyai kehadiran media sosial yang baik, penganjur berharap dapat membuka jalan untuk tajaan dan peluang lain di masa hadapan.

Eddrie Hashim selaku juri.

Eddrie mengakhiri temuramah dengan menggalakkan semua pemain gitar untuk terus berusaha dan tidak mengalah, serta mengingatkan bahawa muzik seharusnya menyeronokkan. "Kita kena aim for the sky. Music should be fun. You play whatever you want to. Then people will gravitate dekat mana yang dia suka," tambahnya.

Senarai Finalis Terpaling Solo Contest.

 1. Izaidin Hassan 2. Khairudin Ismail 3. Muhammad Hanafi 4. Kyoji Sky 5. Daniel Sabirin 6. Azwan bin Abdul Aziz 7. Sharuddin Lingkatan 8. Izzwan Bin Nik Nizam 9. Nabil Bin Adam 10. Mohd Nor Sham 11. Azlan Ahmad.

Senarai Pemenang.

 1. Izzwan Bin Nik Nizam 2. Daniel Sabirin 3. Sharuddin Lingkatan 4. Kyoji Sky 5. Khairuddin Ismail

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan