KOKREATIF LONJAK EKONOMI PENGGIAT SENI KREATIF MALAYSIA
KUALA LUMPUR, 13 MEI 2025 - Koperasi Industri Kreatif Malaysia Berhad (KOKREATIF) yang ditubuhkan pada Oktober 2022 kini muncul sebagai pemangkin utama dalam ekosistem industri seni kreatif negara dengan pendekatan inklusif dan mampan. Di bawah kepimpinan Pengerusi baharu, Puan Sandakiah Azez, anak kepada allahyarham Seniman Datuk Aziz Sattar, koperasi ini beriltizam menjadi jambatan penghubung antara penggiat seni kreatif dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam industri.
Dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-3 yang baru berlangsung, Puan Sandakiah dilantik untuk menerajui KOKREATIF, dengan fokus utama mengembangkan peluang akses, kerjasama dan jaringan industri yang lebih luas kepada anggota koperasi. KOKREATIF turut memperkasakan teknologi digital dalam pengurusan dan pelaksanaan operasinya, dengan aplikasi mudah alih yang sedang dibangunkan untuk manfaat menyeluruh penggiat seni.
![]() |
Puan Sandakiah Azez (Pengerusi Kokreatif). |
Selaras dengan matlamat Dasar Koperasi Negara, KOKREATIF komited menyuntik semangat baharu dan idea inovatif bersama anggotanya untuk memajukan sektor industri seni kreatif sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara. Keanggotaan koperasi terbuka kepada semua penggiat seni kreatif warganegara Malaysia termasuk pelakon, penyanyi, pelawak, penulis, pemuzik, pelukis, pengukir, penggiat teater, dan seni pertahanan diri.
KOKREATIF turut membuka ruang kepada golongan profesional dan usahawan yang ingin menyumbang ilmu serta pengalaman bagi membantu anggota dalam bidang keusahawanan, terutamanya keusahawanan digital selaras dengan perkembangan semasa. Yuran pendaftaran untuk menjadi anggota KOKREATIF hanya RM30 dengan langganan saham koperasi minimum sebanyak RM100.
Untuk maklumat lanjut dan borang permohonan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi www.kokreatif.com atau menghubungi pejabat KOKREATIF di talian yang disediakan. Puan Sandakiah menegaskan bahawa KOKREATIF akan terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan ekonomi penggiat seni kreatif Malaysia melalui pelbagai inisiatif berinovasi yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat.
Comments
Post a Comment