KONSERT ATILIA HARON & SALAMIAH HASSAN, "GELOMBANG BAHAGIAKU" AKAN BERLANGSUNG OGOS INI.
Oleh: Norazni Ismail.
KUALA LUMPUR, 13 MEI 2025 — Penyanyi popular Atilia Haron akan mengadakan persembahan istimewa bersama ibunya, legenda muzik tanah air Salamiah Hassan, dalam konsert bertajuk "Gelombang Bahagiaku" pada 16 Ogos 2025, bertempat di Plenary Theatre, Kuala Lumpur Convention Centre. Konsert anjuran Mujik Wand Production ini akan bermula pada jam 8:30 malam, menjanjikan pengalaman muzik yang memukau buat para peminat kedua-dua artis.
Menurut Atilia, konsert ini merupakan satu impian yang menjadi kenyataan baginya untuk berkongsi pentas dengan ibunya yang selama ini menjadi inspirasi dalam kerjaya seninya. "Sejak kecil, saya teringin menjadi seperti ibu saya. Peluang dapat berkongsi pentas yang hebat bersama beliau membuatkan saya rasa seperti gadis paling bertuah di dunia," kata Atilia dengan penuh rasa syukur. Sementara itu, Salamiah Hassan yang kini meraikan ulang tahun ke-55 dalam industri muzik menyifatkan konsert ini sebagai kesempatan istimewa untuk berkongsi bakat dan cinta terhadap muzik bersama anaknya.
![]() |
Atilia Haron. |
Antara kemuncak persembahan yang dinantikan ialah lagu duet pertama mereka bertajuk "Age Is Just A Number", sebuah karya baharu yang membawa mesej positif tentang kehidupan dan keberanian menjadi diri sendiri tanpa mengira usia. Perkongsian dua generasi artis ini bukan sahaja menyatukan dua vokal berbeza, tetapi juga mewakili dua jiwa yang disatukan dalam satu nadi iaitu muzik.
Dalam menjayakan projek ini, Atilia dan ibunya mengakui terpaksa melalui pelbagai cabaran, namun berkat semangat dan sokongan rakan-rakan terdekat, mereka akhirnya berjaya merealisasikan impian tersebut. "Sudah tentu ada cabarannya, tetapi sedikit demi sedikit, kami berjaya usahakannya. This concert had to be done. Kami buat apa yang perlu sahaja dengan sokongan rakan-rakan," jelas Atilia.
Tiket untuk "Konsert Gelombang Bahagiaku" akan mula dijual pada 13 Mei 2025 dengan tiga kategori harga iaitu Platinum (RM350), Gold (RM250) dan Silver (RM150). Konsert ini dijangka menjadi satu malam yang penuh emosi dan kenangan manis buat peminat muzik tanah air, terutamanya mereka yang menghargai nilai keluarga dan hubungan ibu anak yang istimewa melalui medium seni.
perlu mendaki belakang mak tua lagi?
ReplyDelete