Rockology Concert Tour 2025 Perkenalkan Pelan Bayaran Separuh Dahulu

 


Rockology Concert Tour 2025 Perkenalkan Pelan Bayaran Separuh Dahulu

Oleh: Eqmal Ezad.

KUALA LUMPUR, 30 MEI 2025 – Konsert muzik rock paling dinanti-nantikan tahun ini, Rockology Concert Tour 2025, kini menawarkan kemudahan pelan bayaran mudah kepada para peminat tegar muzik rock tanah air. Melalui inisiatif "Bayar Separuh Dulu, Rock Habis-Habisan Nanti", peminat hanya perlu membayar 50 peratus daripada harga tiket sebagai bayaran pendahuluan dan menyelesaikan baki pembayaran selewat-lewatnya tujuh hari sebelum konsert berlangsung.

Kemudahan ini diperkenalkan bagi memberi fleksibiliti kepada peminat muzik rock dalam merancang kewangan mereka, terutama untuk konsert besar yang menampilkan lagenda seperti Dato' Awie dan Search yang diterajui Kid Din. Menurut Dato' Eddy, Pengarah RPM Events Sdn Bhd selaku penganjur, inisiatif ini lahir daripada pemahaman terhadap keadaan ekonomi semasa dan hasrat untuk memberi peluang kepada lebih ramai peminat menikmati persembahan ikonik kedua-dua artis tersebut.

Peminat yang berminat hanya perlu memilih opsyen bayaran 50/50 semasa proses pembelian tiket melalui platform rasmi UberTickets. Walau bagaimanapun, tiket yang gagal diselesaikan pembayaran penuh selepas tempoh yang ditetapkan akan dianggap batal dan bayaran pendahuluan tidak akan dikembalikan. Konsert ini bakal mengunjungi dua lokasi utama iaitu Midtown PERDA, Pulau Pinang pada 21 Jun 2025 dan EduCity Sports Complex, Johor pada 5 Julai 2025.


Selain menawarkan kemudahan pembayaran, pihak penganjur turut membuka peluang kerjasama dengan penaja korporat dan rakan jenama yang ingin menyertai Rockology Concert Tour 2025. Peluang penajaan ini bukan sahaja memberikan pendedahan jenama di hadapan ribuan peminat muzik rock malah membuka ruang kolaborasi dalam bentuk promosi bersama, aktivasi jenama di lokasi konsert serta liputan media nasional yang meluas.

Harga tiket untuk konsert di Pulau Pinang bermula daripada RM98 untuk kategori Free Standing, RM158 untuk Rockzone dan RM218 untuk tempat duduk Gold. Manakala di Johor, harga tiket lebih bervariatif dengan pilihan Free Standing dan Bronze pada RM98, Silver RM128, Rockzone RM158, Gold RM188 dan kategori premium Diamond pada RM350. Maklumat lanjut dan pembelian tiket boleh dilayari di laman web rasmi https://rpm.ubertickets.asia/.

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan