Dari Elektrik ke Akustik: SPIDER Persembahkan 20 Tahun Hit Dalam Format Unplugged
Oleh: Eqmal Ezad.
KUALA LUMPUR 19 JUN 2025- Kumpulan rock legenda Spider yang telah mengukir nama dalam industri muzik tempatan selama hampir tiga dekad bakal menghadirkan sesuatu yang istimewa kepada peminat mereka. Setelah 29 tahun berkarya dan menghasilkan hit seperti Nazraku, Aladdin, Relaku Pujuk, Kasih Latifah dan Cinta Dewa Dewi, kugiran yang dipandu oleh Tam (vokal), Aie (drum), Iss (bass) dan Pown (gitar) ini akan tampil dalam format konsert unplugged buat kali pertama. Konsert bertajuk "Spider Unplugged" dijadualkan berlangsung di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2025, sebuah persembahan yang dijangka bakal menjadi momen bersejarah dalam kalendar hiburan tempatan.
Penganjur Naga Legend Entertainment menyifatkan konsert ini sebagai keraian muzik yang cukup dekat dan melambangkan Spider sebagai sebuah kugiran yang unik serta tersendiri. Fandy Alias, wakil dari Naga Legend Entertainment, menyatakan bahawa lamaran mereka untuk mengadakan konsert unplugged ini telah disambut baik oleh kumpulan legenda tersebut.
"Konsep unplugged yang dibawakan ini adalah yang pertama kali kami tampilkan bersama Spider dan tentu sahaja hasilnya akan mewah, tersendiri serta akan menjadi momen terbaik yang pernah disaksikan oleh peminat Spider," katanya dengan penuh keyakinan.
![]() |
Penganjur Naga Legend Entertainment, Fandy Alias ketika menjawab soalan media. |
Bagi Spider sendiri, keputusan untuk mengadakan konsert unplugged ini bukan sekadar untuk terjun dalam keramaian penganjuran konsert semata-mata. Tam yang mewakili kumpulan itu menegaskan bahawa mereka sangat selektif dalam penganjuran konsert solo dan tidak mahu sekadar naik ke pentas, menyanyi ala kadar dan pulang begitu sahaja. "Spider akan mendahulukan konsep, kualiti terutama dari segi sistem audio dan teknikal lainnya serta kadar kesiapan kami yang berada pada tahap maksimum. Selepas itu barulah Spider boleh berikan yang terbaik dan kasi pecah panggung," jelasnya mengenai pendekatan profesional kumpulan itu.
![]() |
Tam, penyanyi Kumpulan SPIDER. |
Peminat yang tidak sabar menanti persembahan Spider Unplugged ini boleh membeli tiket melalui laman web www.ilassotickets.com/spiderunplugged bermula 25 April 2025 jam 3 petang. Empat kategori tiket disediakan dengan harga yang berbeza iaitu RM198 untuk kategori Aladdin (free seating), RM238 untuk Cinta Dewa Dewi (numbered seat), RM298 untuk Kasih Latifah (numbered seating) dan RM388 untuk Relaku Pujuk (numbered seating). Penganjur memberi amaran kepada peminat supaya tidak sambil lewa dalam mendapatkan tiket kerana Spider telah terbukti mampu mengadakan konsert yang "pecah teruk" pada penganjuran sebelum ini.
Comments
Post a Comment