Konsert Muzik Kita! Satukan Generasi Artis Underground Malaysia

Konsert gergasi: 13 lagenda satu pentas

Oleh: Papadin

KUALA LUMPUR, 25 JUN 2025 - Muzik bawah tanah atau indie Malaysia bakal mendapat perhatian khusus melalui Konsert Muzik Kita! yang dijadualkan berlangsung pada 2 Ogos 2025 di MAEPS Serdang Hall A. Anjuran Hard Global Ventures ini bertujuan mengangkat nama artis dan kumpulan muzik underground dari generasi era 90-an hingga sekarang agar warisan mereka terus dikenang dan tidak lenyap ditelan masa.

Konsert berkonsepkan 'timeline' ini akan menyatukan pelbagai nama besar muzik underground Malaysia termasuk Butterfingers, Monoloque, Ki Misri, Fugo, Perry, Fimie Don Dan Satwo, Heidi Moru, Nadarasa, Dukes, Mardiana dan Salammuzik. Turut meramaikan konsert ini ialah artis Indonesia, Nosstress, yang akan memberikan dimensi antarabangsa kepada persembahan malam tersebut. Ketua Pegawai Eksekutif Hard Global Ventures, Khairul Azam Pilus atau lebih dikenali sebagai Aril Pilus, berkata konsert ini adalah peluang emas untuk menyatukan pencinta muzik dari generasi X hingga alpha.

Ketika sesi soal jawab bersama media.

Menurut Aril Pilus, walaupun artis muzik underground tidak mendapat liputan media yang luas seperti artis mainstream, pengaruh mereka tetap kuat dan ada yang berjaya merentasi sempadan negara dengan pencapaian membanggakan. "Kita mahu 'mendidik' generasi baharu untuk menghargai generasi lama, sekaligus membolehkan generasi lama menerima cara baharu generasi muda menikmati muzik. Dulu kita dengar muzik underground dengan cara yang energetik seperti melompat dan menari, tetapi generasi hari ini lebih kepada cara 'healing' yang berbeza," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai konsert atau festival muzik yang banyak serta kurang mendapat sambutan, Aril menjawab.. "Saya faham apa yang saya buat ni adalah satu risiko, tetapi ini adalah peluang yang terbaik untuk saya kembangkan lagi saya punya career dalam bidang seni," ujar artis berkenaan dengan penuh keyakinan. Beliau menegaskan bahawa walaupun ramai artis mampu melakukan pelbagai bidang seperti mengacara, menyanyi dan berlakon, namun pada satu ketika seseorang perlu mencuba sesuatu yang baru untuk keluar daripada zon selesa mereka.

Bagi memastikan kejayaan konsert ini, pihak penganjur telah merancang strategi promosi yang komprehensif dan tersusun rapi. Antara langkah pertama yang telah dilaksanakan ialah kerjasama dengan Ticket Melon untuk sistem penjualan tiket secara dalam talian, memberikan kemudahan kepada peminat untuk mendapatkan tiket dengan mudah. Selepas sidang media selesai, pasukan promosi akan segera digerakkan untuk menjalankan aktiviti pemasaran secara agresif bermula dari hari Sabtu sehingga hari konsert berlangsung.

Strategi promosi yang dirancang turut melibatkan kerjasama dengan stesen-stesen radio utama negara termasuk ERA, Sinar dan Gegar bagi menyiarkan iklan dan promosi konsert berkenaan. Artis ini juga dijadualkan untuk menghadiri sesi temu bual bersama pihak radio serta menganjurkan beberapa pertandingan menarik melalui platform radio tersebut. Kesemua aktiviti promosi ini akan bermula sebaik sahaja sidang media tamat, menandakan permulaan kempen besar-besaran untuk menjayakan konsert yang dinanti-nantikan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Hard Global Ventures, Khairul Azam Pilus atau lebih dikenali sebagai Aril Pilus ketika menyampaikan ucapan.

Idea menganjurkan konsert ini lahir daripada pengalaman Aril Pilus menimba ilmu pengurusan industri kreatif di Universiti Utara Malaysia dan keinginannya menyumbang kepada industri muzik tanah air. Konsert ini mendapat penajaan daripada MJTX Perfume dan Surenity, serta sokongan rakan strategik seperti Evovity, Sutramas, Era, Gegar, Sinar dan Banafee Restaurant. Tiket konsert telah mula dijual sejak April lalu dengan harga bermula RM75 hingga VIP RM300 dan boleh didapati di www.ticketmelon.com.

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA