PTTI Cipta Dua Rekod Malaysia Book of Records Untuk SPM 2024

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman (kiri) menerima pengikhtirafan dari wakil Malaysia Book of Records.


Oleh: Eqmal Ezad.

PUTRAJAYA 01 JUN 2025 - Pusat tuisyen terkemuka PTTI sekali lagi mencipta sejarah dalam dunia pendidikan Malaysia apabila berjaya meraih dua pengiktirafan bergengsi daripada Malaysia Book of Records (MBOR) bagi pencapaian luar biasa pelajar dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024. Dua anugerah yang diterima iaitu 'Most Straight A's SPM Students in a Tuition' dan 'Most SPM Grade A's Obtained by a Tuition' membuktikan kecemerlangan PTTI dalam melahirkan pelajar berprestasi tinggi.

Kejayaan membanggakan ini tercapai selepas PTTI berjaya melahirkan seramai 401 pelajar yang memperoleh keputusan 'Straight A's' dan mencatatkan jumlah terkumpul 18,432 Gred A bagi peperiksaan SPM 2024. Pencapaian ini telah diraikan dengan penuh kemeriahan pada Majlis Anugerah Inspirasi PTTI 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dengan kehadiran lebih 2,000 tetamu termasuk pelajar, ibu bapa, selebriti dan tokoh terkenal tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Dato' K), Datuk Wira Dr. Azizan Osman, Asyraf Khalid, MK K-Clique, Iman Troye, Alyssa Dezek, Zaki Yamani dan Naim Daniel.

Majlis tersebut bukan sahaja meraikan 401 pelajar 'Straight A's', malah turut menghargai 356 pelajar 'Nearly All A's' dan 1,685 pelajar yang memperoleh 6A dan ke atas, mencerminkan komitmen PTTI dalam mengiktiraf pencapaian pada setiap peringkat. Sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan ini, PTTI bekerjasama dengan Yayasan Nurjiwa memberikan insentif wang tunai RM500 kepada setiap pelajar 'Straight A's', menjadikan jumlah keseluruhan insentif mencecah RM200,500 yang diagihkan kepada para pelajar cemerlang.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman menegaskan bahawa kejayaan yang diraih adalah hasil kerja keras semua pihak dan bukan sahaja milik PTTI semata-mata, tetapi milik semua ibu bapa dan pelajar yang tidak pernah putus asa. Beliau menyatakan pencapaian ini adalah bukti nyata bahawa pendidikan berkualiti dan sistematik mampu mengubah masa depan seseorang pelajar, justeru PTTI kini menyasarkan untuk melahirkan 1,000 pelajar 'Straight A's' bagi SPM 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman ketika menyampaikan ucapan.

Bagi merealisasikan sasaran tersebut, PTTI akan meneruskan pelbagai inisiatif termasuk kelas dalam talian, konsultasi akademik serta pemantauan prestasi secara konsisten. Sebagai sokongan kepada ibu bapa dan pelajar yang bakal menduduki SPM tahun ini, PTTI turut menawarkan sesi konsultasi percuma untuk membantu meningkatkan prestasi akademik anak-anak, dengan maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman web rasmi www.ptti.my.

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan