ROCK CARPARK GEGAR '26: Campbell Rooftop

Sesi fotografi selepas menandatangani memoremdum persefahaman antara band dan Nayla Network Sdn Bhd.
Oleh: Eqmal Ezad.

KUALA LUMPUR 15 JUN 2025 - Penggemar muzik rock kapak di Malaysia akan disajikan dengan pengalaman yang menggugah jiwa apabila Konsert Rock Carpark 2026 bakal berlansung pada 3 Januari 2026 di Rooftop Campbell, Kuala Lumpur. Acara pembuka tirai tahun baharu ini dijangka menjadi perayaan nostalgia buat para otai rock sambil menarik perhatian generasi muda dengan konsep urban yang segar dan menarik.

Konsert bersejarah ini dianjurkan oleh Naila Network Sdn Bhd, sebuah syarikat penganjur acara baharu yang memulakan projek mega pertama mereka dengan penuh keghairahan. Ilham di sebalik konsert ini lahir daripada kerinduan mendalam terhadap era kegemilangan muzik rock kapak, di samping hasrat untuk memartabatkan kembali budaya konsert carpark yang pernah menjadi nadi utama hiburan rakyat Malaysia. Pemilihan lokasi di Rooftop Campbell bukanlah kebetulan, sebaliknya membawa simbolisme kuat kepada memori para rockers yang pernah 'melepak' di kawasan Campbell untuk membeli CD, baju band dan berkumpul di tempat letak kereta, menjadikan Campbell sebagai hab muzik dengan semangat dan nafas baharu.

Konsert yang dinanti-nantikan ini akan menampilkan barisan artis papan atas seperti FTG, Wow Sofea dan Handy Black, dengan harapan dapat membangkitkan semula keajaiban pentas besar yang dirindui ramai penggemar rock kapak. Menariknya, band-band muda juga akan diberi peluang keemas untuk membuka pentas, menjadikan acara ini jambatan generasi yang menghubungkan para otai dengan bakat-bakat baharu dalam industri muzik rock tempatan. Pendekatan promosi yang dipilih oleh pihak penganjur menggabungkan elemen moden dan 'eye-catching' bagi memastikan konsert ini relevan dengan citarasa anak muda masa kini tanpa menjejaskan jiwa rock kapak yang asli dan autentik.

Penganjur mensasarkan kehadiran 5,000 penonton yang akan memadati Rooftop Campbell untuk meraikan muzik rock kapak dalam suasana yang meriah dan penuh kenangan. Tiket konsert akan mula dijual pada Julai 2025 melalui platform Ticket2U dan ejen-ejen terpilih, dengan tempoh jualan awal yang memudahkan para peminat merancang kehadiran mereka lebih awal. "Kami mahu seluruh peminat rock, sama ada otai mahupun anak muda, turun padang dan penuhkan venue untuk meraikan semula vibe rock carpark yang pernah menjadi budaya hiburan rakyat kita. Jika sambutan luar biasa, kami akan mempertimbangkan untuk menambah tarikh atau lokasi konsert," ujar wakil penganjur dengan penuh semangat.

Leftenan bersekutu(PA) Muhamad Najmi bin Abdul Rahim (Pengarah syarikat) dan Khairul Mustaqim bin Zainal (Pegawai eksekutif) Nayla Network Sdn Bhd.


Konsert Rock Carpark 2026 diharapkan bukan sekadar menjadi hiburan semata-mata, malah diangkat sebagai khazanah budaya muzik Malaysia yang perlu dilestarikan untuk generasi akan datang.

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA