Azri Safix dan Emma Sofea Kongsi Pengalaman Watak Utama dalam 'Puteri Kelas Atas'
Oleh: Papadin.
TANJUNG MALIM 17 JULAI 2025- Pelakon muda Azri Safix dan Emma Sofea berkongsi pengalaman menarik mereka memegang watak utama dalam drama terbaru 'Puteri Kelas Atas' yang akan disiarkan tidak lama lagi.
Azri yang melakonkan watak Zaid mengakui bahawa karakternya sangat berbeza dengan personaliti sebenar dirinya. "Zaid ni seorang budak nakal tapi dia tak buli sesiapa. Dia sangat tenang, sangat cool dan seorang budak pandai di sekolah berasrama penuh Berlian," jelas Azrul yang mengaku terpaksa mengubah sikap hiperaktif dan suka berguraulnya untuk menjadi lebih kalem bagi menghayati watak tersebut. Bagi pelakon yang baru kali pertama memegang watak hero ini, cabaran terbesar adalah mengawal emosi dan dialog supaya tidak terkeluar daripada karakter Zaid yang memegang prinsip keadilan dan sangat menjaga imej.
Sementara itu, Emma Sofea yang melakonkan Emilia mendapati wataknya sebagai puteri yang ingin merasai kehidupan biasa sangat menarik untuk dihayati.
"Emilia adalah anak sultan yang sepanjang hidupnya tinggal dalam istana dan tidak pernah berinteraksi dengan dunia luar. Bila dia masuk sekolah Berlian, dia kena belajar berdikari dan beradaptasi dengan kehidupan normal," kata Emma yang mengakui boleh mengaitkan diri dengan watak Emilia kerana kedua-duanya pernah mengalami homeschooling dan mempunyai seorang adik lelaki. Kedua-dua pelakon ini turut mengambil kelas lakonan dengan Kak Elly selama lima hari untuk memahami latar belakang watak mereka dengan lebih mendalam, dan mereka bersyukur dapat bekerjasama dalam projek yang menguji kemampuan lakonan mereka ini. Emma yang sudah memegang beberapa watak utama sebelum ini menegaskan pentingnya untuk sentiasa rendah hati dan tidak memilih-milih projek dalam industri hiburan yang mencabar ini.
Tam Suhaimi selaku pengarah yakin pelakon baharu mampu bersinar dalam "Puteri Kelas Atas".
Seorang pengarah berpengalaman yang memulakan kerjaya mengarah pada 2013 berkongsi pengalaman menarik mengendalikan kumpulan pelakon baharu dalam projek terbaru mereka, "Puteri Kelas Atas" yang bergenre rom-com. Berbeza dengan anggapan umum bahawa pelakon baharu hanya diberikan watak sampingan, pengarah ini memberikan kepercayaan penuh dengan meletakkan mereka sebagai barisan utama manakala pelakon terkenal hanya berperanan sebagai cameo dan tetamu khas. Keseriusan pelakon-pelakon muda ini terbukti apabila mereka sanggup menghadiri kelas lakonan intensif bersama Eli Surati untuk mempertingkatkan kemahiran mereka, walaupun pengarah tetap memberikan bimbingan berterusan terutama dari segi intonasi dan penyampaian dialog kerana pengalaman beliau sebagai bekas pelakon membantu memahami keperluan mereka. Projek yang digambarkan sebagai "Cinderella moden" ini mengisahkan seorang puteri yang terpaksa meninggalkan istana untuk hidup sebagai rakyat biasa di sekolah sambil berhadapan dengan empat watak lelaki yang berebut perhatiannya, sebuah cerita yang diyakini masih relevan dengan generasi muda masa kini. Setelah 28 hari penggambaran, pengarah ini mengakui walaupun terdapat pelbagai cabaran dari segi lokasi dan logistik, tetapi dengan komunikasi yang baik dalam pasukan, semua masalah dapat diatasi dengan lancar tanpa sebarang insiden besar, dan beliau lebih suka menggunakan pendekatan bimbingan berbanding memarahi pelakon kerana percaya kaedah tersebut lebih berkesan dalam mencapai hasil yang diingini.
Sinopsis Drama "Puteri Kelas Atas".
Tunku Amelia, seorang puteri diraja yang dirahsiakan identitinya, telah dihantar ke sekolah berasrama penuh selepas berlaku satu pertengkaran besar dengan ayahandanya. Amelia mengimpikan permulaan baru yang jauh dari protokol istana dan tekanan status diraja. Namun hidup sebagai pelajar biasa ternyata jauh lebih mencabar daripada yang disangka.
Di Sekolah Berasrama Berlian, Amelia berdepan dengan suasana baru – rakan sebilik yang lantang dan peraturan sekolah yang ketat. Dalam kesukaran menyesuaikan diri di tempat baru, Amelia berjaya mendapat perhatian tiga jejaka yang paling menonjol di Berlian – Zaid, pelajar yang suka mencabar peraturan sekolah; Iqbal, ketua pengawas yang berprinsip; dan Akid, seorang atlet terkenal di sekolah.
Apabila mereka sedar bahawa mereka menyukai gadis yang sama, masing-masing mula merancang untuk menjatuhkan antara satu sama lain. Keadaan menjadi lebih rumit dengan kemunculan Rafeeq, sepupu Amelia yang berjaya merampas takhta Zaid sebagai pelajar paling popular di sekolah. Kedatangan Rafeeq bukan sekadar untuk melindungi Amelia, tetapi juga membawa satu rahsia yang mampu mengubah segalanya.
Dan apabila semuanya terbongkar, mampukah Amelia membuat pilihan – antara cinta, tanggungjawab, dan takdir yang telah ditentukan sejak lahir?
Comments
Post a Comment