"Dari Mimpi Jadi Kenyataan: Yonnyboii Persembahkan 'Tanya Tuhan' Sebagai Karya Terbaiknya"



Oleh: Norazni Ismail.

KUALA LUMPUR, 21 JULAI 2025 - Komposer dan penyanyi Yonnyboii mencatatkan pencapaian terbesar dalam kariernya apabila berjaya berkolaborasi dengan penerbit muzik ikonik Malique dalam lagu terbaharu berjudul 'Tanya Tuhan'. Kerjasama yang lama diimpikannya ini akhirnya menjadi kenyataan hasil sokongan Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng. Yonnyboii menyifatkan pencapaian ini sebagai kemenangan bermakna dari pelbagai sudut dan aspek, terutamanya kerana selama ini dia hanya mampu menyanjung Malique dari kejauhan sahaja.

Lagu 'Tanya Tuhan' yang dicipta bersama LastKhalif ini menggabungkan idea kreatif kedua-dua artis dalam penulisan liriknya, manakala LastKhalif bertindak sebagai penerbit keseluruhan projek. Yonnyboii mengakui terlalu banyak momen hebat berlaku sepanjang proses menyiapkan lagu ini sehingga sukar baginya untuk menguraikan setiap satunya. "Memang saya tak sangka dapat bekerjasama dengan Malique. Dia adalah satu daripada impian dalam senarai wajib capai saya. Memang gila, saya pun tak boleh hadam lagi ada lagu bersamanya," katanya dengan penuh kebanggaan.

Seperti identiti lagu-lagu terdahulunya, Yonnyboii terinspirasi menulis 'Tanya Tuhan' daripada kisah sebenar dirinya ketika terjerat dalam rasa keraguan mengenai persoalan tanpa jawapan. Mesej besar yang ingin disampaikan adalah momen refleksi diri di saat dia inginkan sesuatu namun buntu untuk mencari jawapan. "Sewaktu menulis lagu ini, saya menjauh daripada diri dan sangat emosional. Banyak pergelutan dalam hidup saya baik sebagai pemuzik dan bapa. Kadang-kadang kita penat dan tak tahu nak tanya siapa lagi," jelasnya mengenai inspirasi di sebalik lagu tersebut.

Untuk melengkapkan karya ini, Yonnyboii turut berbesar hati dapat bekerjasama dengan pengarah idamannya, Thaqif, dalam penghasilan muzik video. Dia memuji Thaqif sebagai insan yang tepat untuk merealisasikan idea 'gilanya' kerana mampu bersefahaman dengan visinya. Yonnyboii berharap 'Tanya Tuhan' mampu menjadi karya agung dan ikonik yang dapat difahami serta dihayati pendengar, malah berkait dengan kisah hidup mereka untuk terus menjadi kuat sepanjang perjalanan. Keseluruhan pengalaman ini dianggapnya sebagai satu perjalanan indah yang akan dipahat dalam hati selama-lamanya.

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA