Dato' Khadijah Ibrahim Komited Bantu Anak Seni Melalui Sos Cili Pedas Ibu

Dato' Khatijah Ibrahim atau lebih mesra di panggil Ibu (tengah) bersama Cik Baizura Tazri (Co Fouder Sos Ibu) (kiri) dan Puan Siti Faizan (Group Puchasing Executive ST Rosyam).


Oleh: papadin.

KUALA LUMPUR, 14 JULAI 2025 – Ikon seni negara Dato' Khadijah Ibrahim sekali lagi membuktikan komitmennya terhadap industri seni tempatan apabila melancarkan produk terbaharu, Sos Cili Pedas Ibu, di pasar raya ST Rosyam Mart, Kuala Lumpur hari ini. Pelancaran bersejarah ini bukan sekadar menandakan perjalanan keusahawanan beliau, tetapi juga menjadi platform inovatif untuk membantu anak seni yang memerlukan sokongan, khususnya wartawan dan artis veteran yang terkesan selepas pandemik.

Produk eksklusif ini kini boleh didapati di ST Rosyam Mart serta platform dalam talian Shopee dan TikTok Shop, dengan sasaran jualan mencapai 3,000 hingga 4,000 botol sebulan. Dato' Khadijah Ibrahim turut merancang memperkenalkan variasi baharu seperti sos tiram dan sos cili khas untuk nasi ayam menjelang akhir tahun ini. Menerusi kerjasama strategik dengan agensi seperti FAMA, DMDI dan MATRADE, beliau bercadang menembusi pasaran eksport ke Singapura dan Brunei, sekali gus menjadikan produk ini sebagai sumber dana kendiri yang mampan untuk program bantuan seni yang bakal diumumkan.

Dato' Khatijah Ibrahim bersama sos cili pedas 'IBU'.

Dalam dunia persembahan, legenda berusia 40 tahun pengalaman ini sedang giat menerajui projek Konsert Telan Kaset yang menghimpunkan lagu nostalgia era 80-an dan 90-an, memberikan ruang kepada artis lama dan baharu untuk kembali berkarya. Beliau juga akan menganjurkan dinner show eksklusif pada September 2025 yang menampilkan Dayang Nurfaizah, Dato' Hattan dan Mimi Fly khusus untuk pasaran korporat. Projek mega yang sedang dibangunkan ialah pusat seni dan restoran di atas tanah seluas 14 ekar di Batang Kali, Hulu Yam, sebagai hab seni dan kebudayaan masa depan.

Tidak ketinggalan dalam dunia rakaman, Dato' Khadijah Ibrahim sedang mempersiapkan lagu baharu berjudul "Hati Ini" ciptaan Rendra Zawawi, anak kepada Allahyarham Dr. Wan Zawawi Ibrahim, sebagai penghormatan kepada legasi seni keluarganya. Menerusi inisiatif keusahawanan ini, beliau menyeru semua warga seni agar bersatu dan terus menyumbang secara jujur dan ikhlas. "Peminat setia tidak boleh dibeli dengan wang. Jagalah maruah seni, dan jangan sesekali tinggalkan perjuangan," tegas ikon yang digelar Ibu ini, membuktikan bahawa seni dan perniagaan boleh berjalan seiring untuk kesejahteraan komuniti seni tempatan.

Dato' Khatijah Ibrahim pada sesi demonstasi masakan berasaskan sos cili.


Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA