Festival AMK Indie 2025 Ditangguh ke November Akibat Kurangnya Sokongan Peminat



Oleh: Norazni Ismail.

KUALA LUMPUR, 14 Julai 2025 – Festival Aku. Muzik & Kamu Indie 2025 (AMK Indie 2025) secara rasmi mengumumkan perubahan tarikh ke 29-30 November 2025 di Sepang International Circuit, selepas menghadapi cabaran serius dalam mendapatkan sokongan yang mencukupi daripada khalayak tempatan. Keputusan ini diambil setelah sambutan terhadap industri muzik lokal didapati masih rendah dan tidak mencapai sasaran yang diperlukan untuk menjayakan festival mengikut standard yang diharapkan oleh penganjur bersama, Westzone Entertainment.

Menurut Encik Aiman, Pengarah Westzone Entertainment, keputusan ini bukan bermaksud pembatalan tetapi sekadar penangguhan untuk memastikan festival dapat dilaksanakan dengan lebih baik. "AMK Indie 2025 dibina untuk meraikan muzik kita sendiri, tetapi realitinya sambutan terhadap inisiatif ini masih belum mencukupi. Kurangnya sokongan terhadap artis lokal memberi kesan besar kepada jualan tiket dan akhirnya menjejaskan kelangsungan festival ini," katanya. Beliau menambah bahawa pihak penganjur masih percaya dengan potensi muzik alternatif tempatan dan tahu masih ada komuniti yang ingin melihat scene ini terus hidup, namun mereka berdepan dengan cabaran termasuk persaingan daripada konsert berskala besar lain dan ruang promosi yang terhad.

Walaupun festival berpindah ke tarikh baharu, barisan persembahan 21 band indie Malaysia kekal tidak berubah dengan artis seperti Cromok, Butterfingers, Hujan, Meet Uncle Hussain, dan Seven Collar T-Shirt antara yang akan tampil. Hari pertama pada 29 November akan menampilkan SYJ, Cromok, Monosterio, 6ixth Sense, Plague of Happiness, Metalasia, One Buck Short, Deja Voodoo Spells, SOG, Patriots dan Aboi, manakala hari kedua pada 30 November akan menampilkan Meet Uncle Hussain, Empty Page, Butterfingers, Hujan, Seven Collar T-Shirt, Salammusik, Kyoto Protocol, Midnight Fusic, Gerhana Skacinta dan Monoloque.

Penukaran tarikh ini menyerlahkan hakikat bahawa penganjuran festival muzik tempatan bukan sahaja mencabar, malah hampir mustahil tanpa sokongan menyeluruh daripada peminat. Tiket yang telah dibeli akan kekal sah untuk tarikh baharu dengan harga yang kekal sama serendah RM80 tanpa sebarang kenaikan. Pihak penganjur akan mengadakan sesi soal jawab terbuka melalui siaran langsung di TikTok, Instagram dan Facebook Live pada Selasa, 15 Julai 2025 jam 8.00 malam di akaun rasmi @coactionmagic untuk memberikan penjelasan lanjut kepada peminat dan pembeli tiket mengenai perubahan ini.

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA