Kebangkitan Semula Jenama Kasut Fung Keong: Dari Penerbitan Buku Hingga Menghidupkan Kembali Ikon Kasut Tempatan
![]() |
En Izzat Amir (Pakar Strategi Jenama) memegang kasut Fung Keong keluaran khas Allahyarham Pyan Habib. |
Oleh: Papadin.
SEREMBAN 06 JULAI 2025- Perjalanan menarik seorang penerbit buku yang beralih arah menjadi penjual kasut bermula apabila Izzat, pemilik Rabak Lit Publishing yang diasaskan oleh En Mohd Jayzuan, secara tidak sengaja menemui sejarah jenama kasut tempatan Fung Keong semasa membuat penyelidikan di Pulau Pinang pada akhir 2019. Selepas bekerja hampir 10 tahun di PTS Media Group sebelum memulakan syarikat penerbitannya sendiri pada 2017, Izzat tidak pernah menyangka bahawa pertemuannya dengan sutradara Nasir Jani akan membuka babak baru dalam hidupnya. Ketika menemu bual seorang ikon skateboarder untuk projek buku, mereka lebih banyak bercakap tentang kasut, dan malam itu setelah menonton semula filem 'Kembara Seniman Jalanan', Nasir Jani menceritakan tentang kewujudan kasut tempatan Fung Keong yang dipakai oleh M. Nasir dan Pyan Habib dalam filem tersebut, jauh sebelum jenama Converse masuk ke Malaysia.
Usaha untuk menghubungi pemilik asal Fung Keong tidaklah mudah, terutama semasa pandemik COVID-19 yang melanda pada waktu itu. Selepas pelbagai percubaan melalui telefon dan emel yang tidak mendapat sambutan, Izzat akhirnya menghantar surat bertulis kepada syarikat FKR dengan harapan pendekatan lama ini akan berjaya. Alhamdulillah, wakil syarikat menghubunginya dan mereka bertemu di Pesta Buku Selangor pada 2022 selepas melalui pelbagai halangan termasuk mendapatkan kebenaran untuk bergerak semasa Perintah Kawalan Pergerakan. Perbincangan kolaborasi yang berlangsung hampir dua tahun itu akhirnya membuahkan hasil apabila FKR menawarkan Izzat bukan sahaja menjadi syarikat pemasaran, tetapi mengendalikan sepenuhnya jualan kasut Funkyong dengan sokongan penuh dari pemilik asal sebagai pembekal.
Comments
Post a Comment