Kolaborasi Bersejarah: Misha Omar & Melly Goeslaw Lahirkan Karya Yang Menyentuh Jiwa
Oleh: Norazni Ismail.
KUALA LUMPUR, 31 Julai 2025 - Penghibur berkaliber Misha Omar sekali lagi membuktikan kredibilitinya dalam industri muzik dengan melahirkan sebuah karya istimewa yang menggandingkan sinergi muzik Nusantara. Pemegang predikat tiga kali Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu ini tampil dengan single terbaharu bertajuk "Break" yang merupakan hasil kolaborasi sulung bersama komposer berprolifik tinggi Indonesia, Melly Goeslaw. Diterbitkan oleh syarikat rakaman termahsyur Sony Music Entertainment, "Break" telah dipasarkan secara rasmi di semua platform tradisional dan digital bermula 20 Jun 2025, sekaligus menjadi runut bunyi drama "Mandul Bukan Pilihan" di saluran Astro Ria dan sooka.
Penghasilan "Break" bermula dengan inisiatif berani Misha yang mendekati Melly Goeslaw melalui Direct Message di media sosial untuk menyatakan hasratnya memiliki sebuah lagu hasil sentuhan komposer terkenal itu. Melly kemudiannya menciptakan "Break" khusus untuk Misha, lengkap dengan lagu dan lirik serta Tohpati sebagai penerbit. Bagi penyanyi berusia 43 tahun ini, "Break" bukan sekadar menandakan rehat atau jeda, tetapi menjadi simbolik bahawa beliau tidak akan berhenti menghasilkan karya bermutu yang relevan dalam pasaran muzik. Proses penghasilan yang dilakukan di Jakarta, Indonesia ini dianggap istimewa kerana memenuhi impian lama Misha untuk mendendangkan lagu hasil sentuhan Melly Goeslaw.
Sebagai seorang penghibur yang telah menelusuri kembara seni lebih dua dekad, Misha tidak mengambil mudah setiap projek baharu termasuk "Break". Beliau menjalani rutin ketat dengan mendapatkan kerjasama guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat, serta mengikuti kelas vokal dan membedah lirik untuk memastikan penghayatan dan rasa tentang "Break" dapat disampaikan dengan sempurna. Misha berharap single ini dapat menyentuh jiwa dan membekas di hati peminat, sekaligus melengkapkan katalog karya beliau sebagai seorang penyanyi selepas single terakhir "Masihkan Ada Rasa Itu" pada tahun lepas.
Menerusi "Break", Misha menegaskan hasratnya untuk melihat industri hiburan tempatan dan serumpun sentiasa hangat dengan sambutan menyeluruh daripada peminat. Kolaborasi dengan komposer Indonesia ini bukan bertujuan menafikan kehebatan karyawan seni tempatan, tetapi ingin meneroka kredibiliti diri yang sentiasa ingin belajar perkara baharu sambil meraikan keberagaman muzik Nusantara. Peminat kini boleh mendengar "Break" di semua platform penstriman digital utama seperti Apple Music, Spotify dan YouTube Music, dengan Misha berharap tiada siapa yang akan 'berehat' daripada mendengar karya terbaharunya ini.
Comments
Post a Comment