KPDN Jalankan Pemeriksaan Ketat Elak Manipulasi Harga Susulan Pelaksanaan SST

Tuan Shamsul Nizam Khalil (Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Opersai) KPDN dan Kos Sara Hidup) (kanan) ketika membuat tinjauan pemantauan Ops Kesan 4.0 di salah sebuah premis di Seri Kembangan. 


Oleh: Norazni Ismail.

SERI KEMBANGAN 09 JULAI 2025 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melancarkan operasi pemeriksaan berskala besar di seluruh negara bagi memastikan tiada manipulasi harga susulan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa 1 Julai 2025. Pemeriksaan yang dijalankan bersama pegawai dari Putrajaya dan Selangor ini meliputi pelbagai kategori perniagaan termasuk kilang, pengimport, pemborong, pengedar dan premis runcit bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan cukai yang baharu.

Menurut Tuan Shamsul Nizam Khalil (Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Opersai) KPDN dan Kos Sara Hidup), pemeriksaan ini tertumpu kepada empat elemen utama iaitu memastikan hanya barangan dan perkhidmatan yang terlibat dalam SST sahaja yang dikenakan cukai, barangan yang dikeluarkan atau diimport pada 1 Julai 2025 dan selepasnya sahaja yang tertakluk kepada cukai baharu, pihak terlibat seperti pengilang dan pengimport perlu mencapai nilai ambang yang ditetapkan, dan tiada berlaku pengenaan SST ke atas barangan yang diimport atau dihasilkan sebelum 1 Julai 2025. Operasi ini menggunakan tiga pendekatan utama iaitu pengeluaran notis di bawah Seksyen 21 untuk mendapatkan maklumat harga dan kos barangan, penelitian terhadap pergerakan harga, dan analisis akhir bagi menentukan sama ada berlaku elemen pencatutan.

Tuan Shamsul Nizam Khalil (Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Opersai) KPDN dan Kos Sara Hidup) ditemui ketika sidang media.

Statistik terkini menunjukkan bahawa sejak 1 Julai hingga 8 Julai 2025, sebanyak 375 premis telah diperiksa dengan 1,698 Surat Pekeliling Utama (SPU) dikeluarkan oleh pasukan KPDN seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, enam notis hadir di bawah Seksyen 21 telah dikeluarkan dan empat syarikat telah hadir dengan dua daripadanya bersetuju menangguhkan kenaikan harga manakala dua lagi menyelaraskan pergerakan harga jualan mereka mengikut penggunaan cukai jualan. Sepanjang tempoh pelaksanaan ini, KPDN menerima 17 aduan berkaitan kenaikan harga barang yang kini dalam proses siasatan lanjut.

KPDN memberi amaran tegas bahawa sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah dan tiada kaitan dengan penggunaan cukai jualan akan dikenakan tindakan undang-undang. Individu yang melakukan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000. Orang ramai yang ingin membuat aduan boleh menghubungi Pusat Aduan Pengguna melalui talian 038 822 6245, WhatsApp 012 665 4292, portal aduan KPDN, pusat panggilan 1800-886-800 atau aplikasi telefon pintar ezADU. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada program Ops Gempur yang dilaksanakan untuk menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan memastikan perlindungan pengguna terjamin.

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA