S Durian World Anjur Durian Fiesta Terbesar Malaysia di One World Hotel
Oleh: Norazni Ismail.
PETALING JAYA 10 JULAI 2025- S Durian World telah menganjurkan Durian Fiesta pada 10 Julai 2025 di One World Hotel dengan menyasarkan penyertaan sekurang-kurangnya 1,200 peserta dalam usaha mencipta rekod Malaysia Book of Records sebagai fiesta makan durian paling besar di Malaysia. Acara yang bermula sejak pukul 8.30 pagi ini merupakan kerjasama dengan Teju Youth Worldwide yang mempunyai ahli dari seluruh dunia, dengan tujuan utama membawa "hijau emas durian" ke peringkat antarabangsa.
Menurut En David Hew selaku penganjur acara menyediakan sekurang-kurangnya 1.5 tan durian pelbagai jenis termasuk Musang King, Blackton, D24 dan D101 untuk memastikan pelawat dapat menikmati pelbagai cita rasa durian tempatan. Durian-durian segar ini dibekalkan terus dari kebun durian di kawasan Jementah, Segamat, Johor yang hanya mengambil masa dua jam perjalanan ke lokasi acara. Proses pemungutan durian dilakukan pada waktu tengah malam hingga subuh untuk memastikan kesegaran, dengan kelompok pertama durian tiba di lokasi pada pukul 7 pagi.
![]() |
En David Hew (CEO S DURIAN WORLD) selaku penganjur acara. |
Kejayaan acara ini merupakan sebahagian daripada visi jangka panjang S Durian World untuk menjadi ladang durian terbesar di Malaysia malah dunia dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI). Teknologi AI yang dirancang merangkumi ujian tanah, kawalan cuaca dan baja, serta sistem satelit untuk memantau kesihatan pokok durian. Selain itu, mereka juga merancang aplikasi permainan interaktif yang membolehkan ahli mengadopsi pokok durian secara maya dan memantau pertumbuhannya melalui telefon pintar.
Acara ini turut mendapat sokongan Agrobank dalam merealisasikan hasrat S Durian World menjadikan durian Malaysia sebagai produk eksport utama ke seluruh dunia. Penganjur turut mengambil kesempatan meraikan sambutan hari lahir Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ke-100 tahun, menunjukkan semangat patriotik dalam usaha memartabatkan produk tempatan di pentas dunia.
Pada majlis tersebut S Durian World turut menerima anugerah dari 'Malaysia Book of Records' sebagai Peserta Terbanyak dalam Fiesta Durian Malaysia iaitu seramai 1,188 peserta.
Comments
Post a Comment