BARANG KEPERLUAN ASAS PENGGUNA SELANGOR DIPANTAU SELEPAS PERLUASAN SST SEJAK 1 JULAI 2025
![]() |
Mohd Hanizam Kechek (Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Dan Kos Sara Hidup Selangor) semasa menjalankan pemeriksaan barang keperluan asas di satu premis di Shah Alam. |
Oleh: Norazni Ismail.
SHAH ALAM 18 JULAI 2025- - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sejajar dengan pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor telah melancarkan pemeriksaan di bawah OPS KESAN 4.0 sejak 1 Julai sehingga hari ini. Pemeriksaan ini adalah susulan daripada pelaksanaan peluasan SST yang berkuatkuasa bermula 1 Julai 2025. Selama 18 hari sejumlah 120 premis telah diperiksa selepas perluasan SST berkuatkuasa.
Menurut kenyataan rasmi KPDN, pemeriksaan menyeluruh telah dijalankan terhadap barang keperluan asas seperti ayam standard, sardin, roti dan barangan lain. Hasil analisis menunjukkan kebanyakan peniaga mampu menyerap kos tambahan akibat kenaikan SST tanpa menaikkan harga secara tidak munasabah kepada pengguna. Aduan yang diterima setakat ini hanya melibatkan isu-isu teknikal seperti tiada tanda harga, yang merupakan perkara biasa dalam operasi harian.
![]() |
Mohd Hanizam Kechek (Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Dan Kos Sara Hidup Selangor) semasa menjalankan pemeriksaan barang keperluan asas di satu premis di Shah Alam. |
Bagi memastikan pengawasan berterusan, KPDN telah mewujudkan talian khas "Kesan 4.0" melalui nombor WhatsApp 012-665-4292 untuk menerima aduan orang awam. Orang ramai digalakkan melaporkan sebarang unsur kenaikan harga yang tidak munasabah dengan memberikan maklumat yang jelas termasuk nama tempat dan lokasi untuk membolehkan pegawai bertindak segera. Setiap aduan akan ditangani dalam tempoh 24 jam dengan pengerahan pegawai lapangan untuk pemeriksaan.
Sebagai langkah tegas, KPDN akan mengeluarkan notis Seksyen 21 kepada mana-mana peniaga yang didapati menaikkan harga secara tidak munasabah. Peniaga diberi tempoh enam hari untuk memberi maklum balas, dan sekiranya didapati unsur pencatutan, kertas siasatan akan dibuka. Kesalahan pencatutan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 untuk syarikat dan RM100,000 untuk individu di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan.
Comments
Post a Comment