MAEPS Bergegar lagi-Art of Speed Malaysia 2025 Tampil dengan Tema 'Kustom Ada Gaya'



Oleh: Norazni Ismail.

SERDANG, 01 OGOS 2025 – Acara Kustom Kulture terbesar tanah air, Art of Speed (AOS) 2025 yang ke-14 telah berjaya menggegarkan Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang selama dua hari berturut-turut dari 26 hingga 27 Julai lalu. Acara ikonik yang bertemakan "Kustom Ada Gaya" ini sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai perayaan seni dan gaya hidup automotif paling dinanti-nantikan di Malaysia, menarik ribuan peminat dan penggemar tegar dari seluruh negara. Kehadiran lebih 30 tetamu antarabangsa dari negara-negara seperti Jepun, Amerika Syarikat, Australia, Taiwan, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina, Brunei dan China telah menambah lagi prestij acara ini, termasuk kehadiran istimewa Shige Suganuma dari MOONEYES Jepun dan Brendon Vetuskey, pereka produk Hot Wheels dari Amerika Syarikat.


Pengalaman pengunjung dimulakan dengan gerbang ikonik AOS yang telah dinaik taraf secara besar-besaran, kini tampil lebih garang dan moden dengan paparan LED penuh yang memancarkan visual dan animasi dinamik. Gerbang baharu ini bukan sekadar penyambut tetamu yang bergaya, malah mencerminkan semangat AOS yang penuh kreativiti, budaya dan inovasi, menjadikannya antara lokasi paling banyak dirakam dan tumpuan utama pengunjung. Program "BEETLE BATTLE" yang dipelopori oleh Denny Kusumah dari Volkswagen Beetle Club Indonesia turut menyaksikan kehadiran deretan kereta dari negara-negara jiran, meraikan semangat persahabatan serantau yang merentas sempadan. Manakala Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) yang kali ke-3 menggegarkan Dewan C dengan pelbagai aktiviti menarik, malah mencipta sejarah dengan pelancaran pasangan kereta konvensyen pertama di Asia Tenggara yang menghadap kiri dan kanan.



Acara ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk Santai Scooterist untuk perhimpunan mega pemilik skuter, perhimpunan kelab kereta moden dan klasik, Roda Rumble 2025 yang disokong oleh Retro Mania, serta Zon Uji Tunggang pelbagai jenis motosikal daripada jenama terkenal seperti Royal Enfield, Vespa, Aprilia, Triumph, Lambretta dan Harley-Davidson. SoundCircus Takeover di Dewan A turut memeriahkan suasana dengan persembahan artis tempatan seperti Noh Salleh & Restore Iboe, Romantic Echoes, Ruffedge, Luqman Podolski dan ramai lagi. Medan selesa dengan pelbagai pilihan penjual makanan, Payung Kopi sebagai zon santai, pasar lambak barangan automotif dan sesi percubaan makanan percuma oleh Corntoz Mamee melengkapkan pengalaman menyeluruh pengunjung sepanjang hujung minggu.


Kemuncak acara ini adalah penganugerahan kategori Best of Show yang menyaksikan Shaun Pinto dengan VW Beetle 1965 memenangi kategori automobil manakala Omar Jumiran dari Eastern Bobber dengan Honda CB 175cc 1983 meraih gelaran kategori motosikal. Kedua-dua pemenang telah memenangi hadiah berupa pakej perjalanan ke MOONEYES Yokohama Hot Rod ke-33 tahun 2025 sebagai Tetamu Kehormat. Selain itu, pelbagai anugerah khas lain turut dimenangi dalam kategori Show & Shine termasuk Lowrider, Automobil dan Motosikal yang menyaksikan penyertaan peserta tempatan dan antarabangsa. AOS 2025 sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu menjadi destinasi utama bagi peminat kustom kulture di rantau Asia Tenggara, dengan komitmen berterusan untuk meraikan kreativiti, inovasi dan semangat berkongsi dalam komuniti automotif.



Comments

Popular posts from this blog

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA