NEX dan Fattah Amin Lancar Kempen Solidariti untuk Palestin
Oleh: Norazni Ismail.
PUTRAJAYA 04 SEPTEMBER 2025 - Jenama minuman tempatan NEX bersama pelakon terkenal Fattah Amin melancarkan kempen solidariti istimewa bertajuk "NEX & Fattah Amin Bersama Palestin" di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini. Kempen ini bukan sekadar kutipan dana biasa, tetapi merupakan gerakan untuk menyatukan rakyat Malaysia melalui tindakan mudah namun bermakna, membuktikan bahawa walaupun tindakan sekecil membeli sebotol air mampu membawa harapan kepada saudara-saudara di Palestin.
Kempen yang akan berlangsung pada 17 Oktober 2025 ini mensasarkan untuk menggerakkan rakyat Malaysia membeli 500,000 botol NEX dalam tempoh 24 jam, dengan RM0.50 daripada setiap botol akan disumbangkan untuk mencapai sasaran kolektif sebanyak RM250,000. Hasil kutipan akan disalurkan terus kepada usaha bantuan kemanusiaan di Gaza melalui kerjasama dengan Cinta Gaza Malaysia (CGM). Pemilihan tarikh 17 Oktober turut membawa simbolisme tersendiri bagi memperingati tragedi 7 Oktober 2023, dengan hasrat mengubah tarikh penuh duka itu menjadi hari yang penuh harapan dan makna.
Fattah Amin yang hadir pada majlis pelancaran berkata kempen ini bukan sekadar mengenai sebuah jenama, tetapi tentang menggunakan platform mereka untuk menyatukan rakyat Malaysia demi satu tujuan yang lebih besar. "Kami berharap setiap hirupan membawa doa, setiap pembelian menyampaikan harapan," ujarnya. Turut memberikan sokongan, Imam Muda Asyraf menyifatkan amalan kecil seperti membeli sebotol air ini boleh menjadi sadaqah jariah yang memberi kelegaan kepada saudara-saudara di Palestin.
Botol Edisi Terhad NEX akan dijual melalui TikTok Shop dan di 500 masjid seluruh negara, dengan penampilan khas oleh Fattah Amin dan Imam Muda Asyraf di masjid-masjid terpilih di sekitar Lembah Klang. NEX yang dikenali sebagai jenama minuman Malaysia yang mementingkan kualiti dan kebersamaan dalam komuniti menegaskan bahawa setiap botol yang dibeli bukan sahaja simbol hidrasi, tetapi juga titisan kasih sayang yang akan membentuk lautan harapan untuk rakyat Palestin.
Comments
Post a Comment