RONCAS Lancar EP Terbaharu 'Jahal'.



Oleh: Papapdin.

SHAH ALAM 10 SEPTEMBER 2025- Band alternatif tempatan Roncas telah melancarkan EP terbaharu mereka bertajuk 'Jahal' dalam satu majlis pelancaran dan pra dengar yang berlangsung pada 8 September 2025 di HooHaa Studio, Shah Alam. Majlis yang berlangsung selama dua jam dari jam 8.30 hingga 10.30 malam itu menandakan fasa baharu perjalanan muzik kumpulan ini yang semakin matang dengan menggabungkan elemen psychedelic dan stoner rock. EP yang menjadi katalog terbaharu Lyme Studios ini hadir dengan enam trek yang mencerminkan suara generasi Garage Rock yang sarat dengan keresahan, perjuangan, kebebasan dan harapan melalui gabungan lirik jujur dan susunan muzik yang segar.

EP 'Jahal' mengetengahkan enam buah lagu yang merangkumi pelbagai tema mendalam bermula dengan 'Kisah Lembu' sebagai pembuka yang penuh sinikal menggambarkan pengalaman karyawan perniagaan, diikuti lagu utama 'Jahal' yang membawa pendengar menyelami konflik batin pendirian seseorang dalam nuansa psychedelic dan stoner. Turut disertakan 'Obskura' yang mencerminkan identiti berani dan lantang Roncas dalam memerangi konflik sistem peradaban, 'Tayam' dengan sentuhan euphoric rock eksperimental, 'Karkun Satria' yang menyelami kehidupan penipu dalam gaya psychedelic 70's rock, dan ditutup dengan 'Pekerja Rencam' yang bertenaga melambangkan harapan dan kebangkitan semula. Kesemua lagu dirakam secara live dengan lirik dan lagu ditulis kolektif oleh semua ahli band menggunakan campuran bahasa Melayu dan slanga jalanan untuk memberikan impak yang lebih autentik.



Dari aspek visual, promosi EP ini mengetengahkan karya seni oleh artis tempatan Ilham Fadli @ Kojek bertajuk 'Inhabitants : Ubat' yang bertindak sebagai penyembuh hati manusia dalam simbolisme urban dengan gaya seni tangan berasaskan elemen psychedelic dan euphoric. Pelaksanaan projek ini turut disokong sepenuhnya oleh Kementerian Komunikasi melalui Dana Kandungan Kreatif seliaan MyCreative Venture Sdn Bhd, menandakan komitmen kerajaan dalam mengangkat potensi muzik alternatif Malaysia ke persada antarabangsa. EP ini dijadualkan tersedia dalam format digital, kaset dan CD bermula Disember 2025.

Roncas turut menggariskan strategi promosi komprehensif yang merangkumi kempen media sosial konsisten di Instagram, TikTok dan YouTube, program fan experience seperti meet and greet dan listening party, serta pengedaran digital melalui platform streaming seperti Spotify, Apple Music, Bandcamp dan YouTube Music dengan sasaran masuk ke playlist kurasi tempatan dan serantau. Kumpulan ini juga merancang pelancaran video muzik rasmi "Jahal" dan merchandise eksklusif hasil kolaborasi dengan jenama tempatan pada awal 2026, sambil menjalankan kempen media dan PR berterusan melalui portal indie, blog muzik dan platform digital bersama penggiat seni untuk memastikan EP 'Jahal' mencapai khalayak yang lebih luas.

Comments

Popular posts from this blog

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA