Air Mata & Janji Manis: Afgan Retrospektif Bakal Gemparkan Malaysia
SIARAN MEDIA.
Penyanyi tersohor Indonesia, Afgan, bakal kembali menghiburkan peminat di Malaysia menerusi showcase istimewa bertajuk Afgan Retrospektif Showcase yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember 2025 di Zepp Kuala Lumpur. Showcase ini bertepatan dengan pelancaran album terbaharu Afgan yang turut diberi judul Retrospektif, mencerminkan perjalanan hidup dan kerjayanya sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini. Album ini membawa nilai sentimental tersendiri buat penyanyi berusia 36 tahun itu kerana ia merupakan album penuh berbahasa Indonesia pertama yang dilancarkannya selepas tujuh tahun, menandakan kepulangannya kepada genre Indonesian Pop yang telah membesarkan namanya.
Mengulas mengenai pemilihan Malaysia sebagai lokasi persembahan, Afgan berkata Kuala Lumpur sudah menjadi rumah keduanya dan sokongan peminat di sini sangat luar biasa. Zepp Kuala Lumpur dipilih sebagai tempat persembahan kerana sesuai dengan konsep muzik yang lebih organik dan intim yang ingin diketengahkan dalam album baharu ini. Menerusi showcase itu, Afgan bakal mempersembahkan lagu-lagu baharu daripada album Retrospektif dengan susunan muzik asal, membolehkan peminat di Malaysia menikmati pengalaman pertama mendengarnya secara langsung selain rangkaian lagu popularnya yang lain.
Afgan menyatakan bahawa perjalanan muziknya telah menjadi sebahagian daripada kisah hidup peminat di Malaysia, sama ada di saat bahagia atau sedih, dan beliau sangat menghargai apabila lagu-lagunya mampu memberi kekuatan kepada peminat untuk menghadapi kehidupan dengan penuh optimis. Penganjur Retrospektif Showcase Afgan iaitu Renjana Idea turut menyatakan rasa bangga dapat membawa Afgan kembali ke pentas Malaysia, meyakini konsert ini akan memberi pengalaman yang penuh emosi dan bermakna terutama buat peminat setia di negara ini.
Tiket Afgan Retrospektif Showcase sudah mula dijual bermula 1 Oktober lalu di laman web golive-asia.com dengan harga bermula dari RM358 untuk General Standing hingga RM1,398 untuk VIP Box, manakala kategori lain termasuk Premium Seat pada harga RM798, Normal Seat RM698 dan VIP Standing RM398. Peminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dan pembelian tiket melalui laman sosial rasmi Renjana Idea atau mengikuti perkembangan terkini menerusi laman media sosial rasmi penganjur.
Comments
Post a Comment