Hampir
dua tahun berehat dari persada muzik tempatan disebabkan vokalis, Mell mengandung
dan bersalin, kini Sakura Band kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul,
Menang.
Umum
mengetahui Sakura Band yang dianggotai Mell (vokalis), Haniff (gitar kedua),
Ali (gitar pertama) dan Akai (basis) ditubuhkan sejak 2012 dan berjaya mencipta
pengaruh tersendiri apabila single Setelah Hujan yang juga tema drama Diandra
di TV3 mencipta fenomena.
Sejak
itu, nama Sakura Band terus menjadi siulan dan setiap lagu mereka berjaya
diterima ramai dan mendapat maklum balas positif peminat muzik tempatan.
Antaranya,
Pelarian, Melepaskanmu dan Polaroid. Kali terakhir Sakura Band muncul dengan
single pada 2018 menerusi lagu Magik.
Menariknya
mengenai Menang, ia adalah hasil karya ciptaan Natasya, Mell dan Haniff dari
Sakura Band sendiri. Sementara lirik tulisan Mell dan Haniff.
Menurut
Haniff yang juga pemain gitar kedua, lagu Menang sudah disiapkan dua tahun lalu
dan baru kali ini sedia dilancarkan.
“Lagu
ini sudah ditulis dua tahun lalu. Ia sepatutnya dilancarkan tahun lepas, tapi
disebabkan Mell hamil dan bersalin, jadi kami berehat.
“Kiranya,
sepanjang tahun lalu saya dan anggota lain memberi fokus kepada kerja belakang
tabir dan buat lagu sendiri.
“Awal
tahun ini baru kami berbincang semula dan tetapkan masa untuk Menang
dilancarkan,” katanya.
Haniff
berkata, walaupun sudah diperam selama dua tahun, muzik Menang masih dianggap
relevan pada masa sekarang.
“Lagu
ini adalah kesinambungan Magik. Ia juga berentak elektronik moden. Jadi, muzik
Menang masih relevan sebab masih moden dan boleh layan.
“Apatah
lagi, lirik lagu ini menceritakan bagaimana kita perlu berjuang dalam
kehidupan. Apa jangkaan kita untuk mencapai kemenangan. Pendek kata, ia memberi
motivasi buat semua,” katanya.
Haniff
berkongsi, lagu Menang sepatutnya menjadi projek album bersama syarikat rakaman
Universal Music yang turut bertindak selalu penerbit dan pengedar bagi single
ini.
Disebabkan
itu, kontrak bersama Universal Music dilanjutkan sepanjang tahun ini.
“Dalam
kontrak bersama Universal Music cuma dua tahun dan kami perlu ada satu album.
Konsep yang diketengahkan adalah lagu berentak elektronik moden. Jadi, Menang
antara lagu yang patut ada dalam album ini.
“Macam
dikatakan tadi, disebabkan Mell hamil dan bersalin, ia tidak dapat dibuat. Kami
sempat lancarkan satu lagu saja iaitu Magik. Selepas berbincang semula dengan
pihak syarikat rakaman, kami akan melancarkan satu persatu single.
“Kiranya,
selepas Menang ada tiga lagu lagi. Kami juga dalam perancangan untuk merakamkan
lagu baru yang mana muzik kembali seperti lagu Palaroid,” katanya.
Haniff
berharap lagu Menang akan mengembalikan zaman kegemilangan Sakura Band dan
terus mewarnai industri muzik tempatan.
“Semoga
lagu ini dapat diterima baik sama seperti single terdahulu. Walaupun muzik
tukar sikit, tapi dari segi lirik dan komposisi muzik ia masih Sakura Band.
“Apa
yang pasti, Menang sebuah lagu yang boleh layan. Dan ia cukup istimewa buat
seluruh peminat kami,” katanya.
Menang
bakal dilancarkan di semua pelantar muzik digital dan boleh distrim di Spotify,
Joox, KKBOX, YouTube dan Apple Music bermula jam 12 tengah malam ini.
Comments
Post a Comment