ASYRFNSIR INGIN ‘MENJANGKIT’ MENERUSI VIRUS
Selepas dinobatkan
juara RapStar ERA baru-baru ini, pendatang baru ASYRFNSIR atau Asyraf tidak menunggu
lama untuk tampil dengan single pengenalan berjudul Virus. Semestinya
pertaruhan sulung ini mempunyai makna tersendiri buat Asyraf memandangkan Virus
bakal menentukan sejauh mana dia mampu mencipta fenomena dalam persada genre
muzik hip hop tempatan.
Turut berkolaborasi
dan mendapat tunjuk ajar daripada SonaOne, pastinya memberi kelebihan buat
Asyraf. Apalagi, SonaOne sendiri adalah figura hip hop paling relevan dan
diakui keberkesanan kualiti karyanya di Malaysia sekarang. Gabungan antara nama
senior dan bakat segar itu tentu sekali memiliki magis tersendiri untuk
menjadikan Virus fenomena dalam masa terdekat.
Kebetulan, Virus
dilancarkan sewaktu seluruh dunia kini berperang dengan virus COVID-19 yang
menghantui hari-hari setiap orang. Ironinya, Virus tidak menyentuh sama sekali
mengenai penularan wabak itu sebaliknya Asyraf mengadaptasi frasa paling
popular paling dekat di hati semua dan popular berkenaan. Menurutnya, dia cuma
menjadikan frasa itu sebagai lambang tepat menggambarkan dirinya.
“Ku boleh
berjangkit, ooh, aku ni Virus”. Mungkin disebabkan situasi terkini, ramai
pendengar akan menganggap lagu ini adalah tentang wabak COVID-19 sekarang. Tapi
sebenarnya virus yang dimaksudkan itu adalah saya. Sewaktu saya menyertai
RapStar ERA, saya memang menyimpan niat untuk memastikan karya yang dihasilkan
sampai dan ‘menjangkiti’ semua orang.
“Ini disebabkan
saya yakin dan percaya ada sesuatu yang unik dan istimewa dalam muzik saya
serta bakal membuat orang ketagih dengan lagu-lagu saya. Terutama sekali
daripada segi permainan kata-kata saya. Banyak rujukan saya buat untuk menulis
lirik lagu ini termasuklah menyentuh aspek menjaga kebersihan, kuman, dan
sebagainya. Apapun, tafsiran sebenarnya adalah menyentuh mengenai karakter saya
sebagai penyanyi rap,” katanya.
Menyalurkan kisah
peribadinya sendiri dalam lirik Virus, Asyraf juga memutuskan untuk lebih
terbuka mengenai dirinya dalam penghasilan lagu ini. Baginya, itulah kekuatan
sebenar lagu ini di mana bukan saja liriknya retorik bahkan kedalaman mesej itu
sendiri mampu membuatkan pendengar lebih faham kisah keseluruhan lagu.
“Suara besar dalam
stereo, ASYRFNSIR on the radio”. Saya
rasa bahagian ini paling kuat disebabkan baris ini adalah tafsiran kisah saya
memulakan kerjaya rap di laman sosial. Mungkin sambutan saya terima kurang
sebelum ini dan ada juga yang skeptikal dan tidak mengambil serius hasil karya
saya. Berkat terus konsisten, saya teruskan perjuangan dan percaya peluang
lebih besar menanti di hadapan.
“Kemenangan pada
RapStar ERA itu ternyata membuka jalan yang nyata untuk saya realisasikan
angan-angan itu. Dengan pelancaran single ini, ‘suara besar’ saya kini bakal
berkumandang di corong radio mahupun pembesar suara masing-masing. Pencapaian
ini sangat manis untuk dikenang sepanjang tahun 2020,” katanya.
Bercerita mengenai
sebalik tabir pembikinan lagu ini pula, Asyraf amat berbesar-hati dengan
bantuan SonaOne dan mengakui sentuhan komposer itu menjadikan hasil akhir Virus
lebih sempurna. Meskipun mengakui berdepan cabaran daripada segi lirik, tidak
menggugat langsung percambahan kreativiti pada penghasilan iramanya.
“Tahap pemikiran
SonaOne sememangnya berada di tahap tersendiri. Dalam 20 minit pertama dia
mampu siapkan rangka asas pada iramanya dan lagu ini berjaya siap sehari saja
dalam masa tujuh jam. Meskipun begitu, setiap masa, dia masih boleh tambah
instrumen mahupun bunyi baru dalam lagu ini. Saya pun tidak pasti bagaimana dia
boleh lakukannya. Kalau dengar setiap bahagian dari intro, korus, dan outro,
elemennya berbeza-beza,” katanya.
Secara
keseluruhannya, Asyraf mengakui sangat berpuas-hati serta berbangga dengan
hasil akhir Virus. Dia juga berharap karya ini bakal memikat pendengar
sebagaimana dirinya turut larut dengan kualiti serta keberkesanannya.
“Saya memang sangat
puas memandangkan daripada segi produksi, lagu ni memang berkualiti tinggi
dengan bantuan kepakaran SonaOne. Berbaloi sungguh saya habiskan masa
berjam-jam dalam studio yang secara tidak langsung merangsang cetusan idea saya
jadi lebih berganda. Saya harap semua pendengar, tak kisah penggemar hip hop
atau tidak, agar lagu ini akan melekat serta-merta di kepala anda,” katanya.
Virus boleh
dimuat-turun di iTunes dan laman penstriman muzik terpilih yang lain
termasuklah Apple Music, Spotify, Deezer, JOOX Music, dan KKBox.
Comments
Post a Comment