KONSERT RUMAH KITA SYURGA KITA DEKAT DI HATI ANDA
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang
dilaksanakan kerajaan sejak 18 Mac lalu bagi membendung penularan wabak
Covid-19 bukan saja menjejaskan hampir keseluruhan sektor pekerjaan, malah
turut memberi kesan kepada industri hiburan tempatan.
Umum mengetahui kesemua program
hiburan TV termasuk konsert berbayar terpaksa ditunda ke tarikh yang belum
ditetapkan.
Apa yang pasti, sepanjang PKP
dilaksanakan, pelbagai ragam dan aktiviti dibuat dapat dilihat berdasarkan apa
yang tular di media sosial.
Tidak ketinggalan, kebanyakan penyanyi
dan selebriti mengambil pendekatan dengan membuat nyanyian secara langsung di
Instagram, merakam lagu secara ‘cover version’ dan banyak lagi sebagai cara
mendekati peminat.
Pendek kata, orang ramai yang duduk di
rumah masih memerlukan hiburan daripada artis kesayangan mereka.
Atas inisiatif itu, syarikat rakaman
17Eleven Music tampil dengan idea segar dengan membawakan Konsert Rumah Kita
Syurga Kita pada 8 April, jam 3 petang di saluran YouTube Seventeen Eleven
Music.
Menariknya, konsert dalam talian
pertama yang dianjurkan syarikat rakaman tempatan itu bakal memberikan warna
baru dalam industri muzik tempatan terutama hiburan buat peminat.
Konsert itu bakal menampilkan penyanyi
popular tanah air seperti Khai Bahar dan Dinda Permata selain tiga penyanyi
baharu iaitu Farisha Airish, The Mirza dan Kamelia Syermain.
Bagi Khai Bahar, konsert itu
mendekatkan lagi dirinya dengan peminat yang tidak pernah putus membuat permintaan
untuknya memuat naik nyanyian di Instagram dan YouTube.
“Saya puji usaha yang dibuat pihak
17Eleven Music. Ini bukan saja sesuatu yang baru, tapi menarik untuk kembangkan
selepas ini.
“Secara peribadi, saya suka dengan
konsep dan pendekatan ini. Apatah lagi sejak PKP ini dilaksanakan penggunaan
laman sosial meningkat.
“Macam saya sendiri, boleh dikatakan
hampir setiap hari peminat membuat permintaan untuk saya ‘cover’ lagu. Jadi,
apabila konsert ini dibuat, ia idea yang menyeronokkan,” katanya.
Pada konsert itu, Khai akan
menyanyikan lagu Ratuku yang juga edaran 17Eleven Music.
Sependapat dengan Khai, Dinda Permata
yang juga bintang Big Stage musim kedua berasa teruja untuk menghiburkan
peminat secara dalam talian.
“Apabila konsep ini diperkenalkan dan
dipersembahankan secara konsert dari rumah, sudah tentu ia lebih menarik dan
santai.
“Tapi, sebagai penyanyi saya harus
profesional dan mempersembahkan lagu ini dengan baik. Sebab kita nak
menghiburkan mereka.
“Pada konsert ini, saya akan
menghiburkan penonton dengan lagu Syarat Bahagia. Lagu ini jarang dinyanyikan
secara langsung selepas ia dilancarkan tempoh hari.
“Jadi, ini kesempatan terbaik untuk
saya memperkenalkan lagi lagu ini. Tak sabar nak jumpa semua,” katanya.
Konsert berdurasi 30 minit itu turut
mempersembahkan beberapa lagu lain antaranya Sakit nyanyian asal Achey yang
akan dinyanyikan Farisha Irish, Kisah Cinta Kita nyanyian asal Hafiz Suip
dibawakan The Mirza dan Khabar Aku (Kamelia Syermain).
Menariknya, bahagian dua Konsert Rumah
Kita Syurga Kita akan menemui penonton pada minggu hadapan.
Klik link
ini untuk terus ke ‘Konsert Rumah Kita Syurga Kita’ di bawa khas oleh 17Eleven
Music:
https://youtu.be/bSfR7I5Ip8U
https://youtu.be/bSfR7I5Ip8U
Comments
Post a Comment