SALAHKU-YONNY BOII
KOMPOSER
dan penyanyi muda berbakat besar, Yonny Boii, 22, kini mempertaruhkan single
solo terbaharunya berjudul Salahku. Lagu yang meluahkan isi hati serta
perasaannya itu disiapkan Jun tahun lalu.
Lagu berentak
R&B hasil ciptaan anak jati Kuala Lumpur itu dilancarkan pada 12.00 tengah malam 3 April 2020 di semua platform digital terpilih seperti itunes, Spotify, Apple Music, Deezer, Joox
Music dan KK Box selain disaluran YouTube
Universal Music.
Anak
sulung tujuh beradik dengan nama penuh, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin ini
terus selesa mengabadikan pengalaman hidup sendiri dalam lagu ciptaan dan
dendangannya.
“Salahku
boleh saya kata menyingkap kisah lalu tentang kehidupan peribadi saya.
Pengalaman itu sebenarnya mematangkan saya.
“Di
sekolah dulu pun, saya tak ramai kawan. Saya memang jenis yang suka menyendiri,
berdiam diri, memendam rasa dan cepat marah. Sebab itulah saya menghasilkan
lirik banyak berdasarkan pengalaman saya membesar. Ramai yang cakap lirik saya
terlalu mendalam, dan mereka yang mendengar sukakan sesuatu yang bukan direka.
Setiap lirik pasti ada kisah yang ingin saya sampaikan”.
Bercerita
lanjut mengenai lagu itu lagi, Yonny Boii berkata ia umpama terjemahan bahawa
diri manusia ini tidak pernah sempurna.
“Lagu
itu saya tulis mengenai isi hati diri saya. Sejak usia 16 tahun lagi, saya
lebih selesa menunjuk perasaan dalam lagu. Saya sering merasakan diri saya
banyak kekurangan. Kadangkala orang tidak memahami apa yang saya lalui dana pa
yang saya inginkan dalam hidup. Jadi menerusi lagu saya dapat melempiaskan
perasaan saya”.
“Kadangkala
tindakan yang kita buat, kita rasa kita betul. Hakikatnya pada mata orang lain
apa yang kita buat itu satu kesilapan. Disini berlaku kekeliruan pada diri
sendiri”.
“Saya
rasa senario itu mungkin turut dilalui orang lain. Pada ketika diri berasakan
sudah cukup baik dan bagus, pasti ada yang melihat sebaliknya.
“Akhirnya
ia menjadi pengajaran berharga dalam hidup. Kekurangan dan kelemahan yang ada
dalam diri itu saya tukar menjadi kekuatan. Akhirnya rezeki saya dalam dunia
seni. Hari demi hari saya lebih matang dalam banyak aspek,” katanya.
Selain
berbakat dalam dunia muzik, Yonny juga sempat belajar dalam dunia perisian dan
grafik.
“Mungkin
juga sudah tertulis tuah dan rezeki saya dalam dunia seni. InsyaAllah saya akan
manfaatkannya sebaik mungkin.
“Cuma
saya sendiri tak tahu nak gelar diri ini sebagai apa dengan lebih tepat. Saya
tak anggap diri ini rapper, komposer, penyanyi hip hop atau terbatas dengan
genre tertentu semata mata.
“Saya
gemar bereksperimental. Saya tak mahu terikat dengan itu dan ini. Saya selesa
bebas dengan tujuan berkongsi bakat yang ada. Cukup memadai, kelaskan saya
sebagai penggubah lagu.
“Ikutkan
lagu rock kapak pun saya buat. Muzik itu bersifat universal. Sudah ada dalam
beratus juga lagu ciptaan saya dari zaman underground sampailah ke saat ini,”
katanya.
Sebelum
Salahku, Yonny Boii tahun lalu pernah meledak dengan lagu Sakit duet bersama
Zynakal.
Tidak
hanya bekerjasama dalam lagu Sakit, mereka berdua pernah berganding dalam lagu
Cemburu juga dicipta Yonny tahun lalu.
“Salahku
ni dikira single ketiga solo saya selepas Tujuan dan Biar.
“Tahun
lalu pun saya sebenarnya pernah muncul dengan lagu Takut berkolaborasi dengan
Caprice.
“Beberapa
bulan lalu saya dipanggil untuk turut serta mewarnai lagu X Missing You
dendangan Dayang Nurfaizah. Faizal Tahir dan Tuju K Clique pun ada. Ini dikira
sebagai penampilan istimewa, saya berperanan buat lirik bahagian yang saya
nyanyikan sahaja”.
“Bulan
lalu saya juga tampil dalam lagu 3 Kucing dendangan Ariff Bahran,” katanya.
Di
akhir perbualan, Yonny turut berkongsi sedikit kekhilafan diri apabila promosi
teaser lagu Salahku yang dimuat naik di IG TV tahun lalu sudah disalin oleh
orang lain dan mereka menggunakan audio lagu itu dan memuat naik di internet.
“Saya
dapat tahu video itu sudah mendapat tontonan lebih 1.8 juta di internet baru
baru ini kerana dimuat naik dua orang di youtube milik mereka.
“Ralat
juga perkara ini terjadi. Tapi saya reda. Ia khilaf sendiri juga.
“Saya
harap yang meminati bakat ini boleh menyokong produk baru saya di saluran yang
betul,” katanya.
Sepanjang
tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasa sejak 18 Mac lalu, Yonny lebih
banyak ‘berkurung’ di rumah demi menggali naskhah baru yang boleh
diketengahkan. Saya juga sempat siapkan lagu pasal PKP ni, tajuk dia Jangan
Keluar Rumah, Alhamdulillah mendapat respon yang agak bagus juga.
Comments
Post a Comment