PERBADANAN KEMAJUAN PERTANIAN SELANGOR (PKPS) UMUM HARGA SILING RUNCIT AYAM RM8.00

MB Selangor membuat lawatan sambil meninjau peniaga-peniaga di hadapan Wisma PKPS-Foto oleh Razali Razak

Kerajaan Negeri Selangor menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) hari ini mengumumkan penetapan harga siling runcit ayam standard RM8.00 sekilogram di semua premis jualan dibawah seliaan PKPS termasuk di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan. Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif ini dilancarkan bagi memastikan rakyat Selangor terus mendapat akses secukupnya kepada ayam segar bekualiti pada harga berpatutan. 

“Kerajaan negeri menyambut baik penurunan harga siling ayam standard sebanyak 20 sen kepada RM8.90 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).Bagaimana pun, mekanisma kawalan harga di premis seliaan PKPS dapat menurunkan lagi harga siling tanpa melibatkan implikasi kewangan yang tinggi.”

Katanya ayam standard Ehsan PKPS akan dijual pada harga RM8.00 sekilogram di dua premis jualan utama iaitu di Pasar Borong Selangor (PBS), Seri Kembangan dan Wisma PKPS, Shah Alam. 

“Fokus utama adalah untuk membantu mengurangkan beban kenaikan harga barang makanan menerusi intervensi kerajaan. PKPS contohnya dapat menetapkan harga siling ayam lebih rendah dengan mengurangkan kadar sewaan bagi peniaga ayam yang menyewa di Pasar Borong Selangor,” jelasnya.

Untuk itu katanya, kerajaan negeri menerusi PKPS akan memperuntukkan dana sebanyak RM1 juta untuk menjalankan Program Intervensi Harga Makanan Ehsan sebagai usaha untuk memastikan harga barang makanan di Selangor terkawal sehingga musim perayaan kelak. Program intervensi ini akan meliputi kos subsidi, pengurangan sewa dan bantuan logistik kepada rantaian bekalan yang strategik untuk mengawal harga barang makanan khususnya produk segar.

Gelagat beberapa peniaga sambil memegang sepanduk jualan ayam RM8/kilo-Foto oleh Razali Razak

MB Selangor membuat lawatan sambil meninjau peniaga telurdi hadapan Wisma PKPS-Foto oleh Razali Razak

Beliau berkata buat permulaan sebanyak 50,000 ekor ayam standard akan diperuntukkan bagi kempen harga jualan ini untuk tempoh dua minggu bermula Isnin ini. 

Selain daripada ayam, penjualan murah bagi telur gred berkualiti juga akan dijalankan dengan menggunakan kaedah kawalan harga yang sama. 
Beliau ditemui semasa sesi lawatan ke premis jualan barangan segar PKPS di Wisma PKPS, Shah Alam hari ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi pula berkata sebagai tunjang yang menggerakkan inisiatif jaminan bekalan makanan Negeri, PKPS giat melaksanakan program seumpama ini agar rakyat Selangor mendapat manfaat daripada aset yang dimiliki PKPS. 

Antara aset terpenting PKPS adalah PBS, Selangor Fruit Valley dan Ladang Ayam PKPS yang mampu menghasilkan 540,000 ekor ayam pada setiap pusingan. 

“Meskipun berada pada skala sederhana, intervensi kerajaan untuk mengawal harga makanan seperti ini boleh diterjemah ke peringkat yang lebih tinggi dengan nisbah lebih besar. Syaratnya implikasi kewangan tidak boleh terlalu membebankan,” katanya. 

Dr Mohamad Khairil berkata kesemua penyewa lot gerai ayam di Pasar Borong Selangor telah menyatakan persetujuan untuk mematuhi harga siling runcit ini. 

“Perlu ditegaskan di sini bahawa PKPS tidak akan sesekali membebankan peniaga di PBS, justeru pengurangan mahupun pengecualian kadar sewa akan diberikan kepada semua penyewa yang terlibat,” tegasnya. 

Jelasnya lagi, buat masa ini pembelian bagi harga siling runcit ini terhad kepada dua ekor bagi setiap pembelian untuk memastikan seramai mungkin rakyat Selangor yang mendapat manfaat. 
Makiumat lanjut mengenai Program Intervensi Harga Makanan Ehsan akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor atau dikenali Sebagai PKPS adalah anak syarikat kerajaan negeri (GLC) Selangor ditubuhkan pada tahun 1972 di bawah Enakmen No.12 1972 (pindaan 1976,. 1982, dan 2005). PKPS bertanggungiawab memacu sektor pertanian dan agro-makanan negeri sejajar dengan Perkembangan sosio-ekonomi rakyat Selangor melalui pelbagai projek komersil dan tanggungjawab sosial dan korporat (CSR) yang strategik. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang PKPS boleh layari laman web www.pkps.gov.my atau laman facebook http://www.facebook.com/perbadanankemajuanpertanianselangor
MB Selangor ketika menjawab soalan media pada sesi sidang media-Foto oleh Razali Razak

Dato' Menteri Besar Selangor tersenyum sambil menjawab soalan para media-Foto oleh Razali Razak


 

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan