AIM23: PENGUMUMAN LIMA CALON AKHIR


Antara calon-calon akhir Anugerah Industri Muzik 23 yang hadir. Foto: Mohd Syaddiq.

 Kuala Lumpur, 1 September 2022 – Acara industri muzik mengujakan yang dinantikan oleh seluruh industri muzik tempatan serta peminat muzik – lima calon teratas dalam setiap kategori anugerah untuk edisi ke-23 rancangan anugerah muzik tempatan yang paling berprestij, 'Anugerah Industri Muzik' (AIM) akhirnya diumumkan hari ini oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).

Seramai 105 calon yang disenarai pendek daripada sejumlah 21 kategori diumumkan dengan pengiraan markah juri yang diaudit oleh firma pengauditan, Mazars. Proses penjurian juga ditadbirkan oleh pihak ketiga yang bebas, Macomm Management Services Sdn. Bhd.

“Kami dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa RIM menerima jumlah yang memberangsangkan sebanyak 650 pencalonan untuk AIM23. Sebahagiannya boleh dikaitkan dengan tempoh kelayakan 18 bulan yang lebih lama untuk keluaran lagu dan album baru dari 1 Jan '21 – 30 Jun '22 , tetapi ia juga merupakan petunjuk bahawa industri muzik tempatan berada dalam keadaan baik dan dalam perjalanan ke pemulihan selepas pandemik.

Penambahan beberapa kategori anugerah baru turut menyumbang kepada peningkatan jumlah pencalonan untuk tahun ini. Kami juga berbesar hati kerana proses penjurian yang ditadbirkan oleh Macomm Management Services Sdn. Bhd. berjalan lancar dengan penyertaan kumpulan terpilih penggiat yang disegani dalam industri muzik dan filem tempatan (untuk kategori 'Runut Bunyi (OST) Terbaik Di Dalam Filem/Drama') yang menduduki panel juri” kata Rosmin Hashim, Pengerusi RIM dan Jawatankuasa Penganjur AIM23.

Puan Norzeha Mohd Salleh (Ketua Saluran Astro Ria, Prima dan Warna), En Rosmin Hashim (Pengerusi RIM) dan Ybhg Datuk Mokhzani Ismail (Ketua Juri) . Foto: Mohd Syaddiq. 

Beliau seterusnya menambah bahawa “proses penjurian untuk dua kategori anugerah pertama - 'Rakaman Lagu Terbaik' dan 'Rakaman Album Terbaik' berlangsung di MVM Studio pada 12 Ogos '22, diikuti dengan kebanyakan kategori anugerah lain pada 15 dan 16 Ogos '22 di Pullman KLCC. Penjurian bagi kategori anugerah 'Lagu Terbaik' yang memilih lagu terbaik daripada 8 kategori anugerah genre lagu berbeza adalah kategori terakhir yang dijuri pada 24 Ogos '22 di Timeless Studio.

“Kami juga berdukacita untuk mengumumkan penyingkiran kategori anugerah 'Lagu India Tempatan Terbaik' kerana kebanyakan lagu yang dicalonkan tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan, menyebabkan lagu yang tidak mencukupi untuk menduduki 'Top 5' dalam kategori ini," Rosmin mengulas selanjutnya.

Beliau turut mengumumkan nama-nama juri terkemuka yang menganggotai panel juri pencalonan AIM23 termasuk penggiat industri muzik yang dihormati seperti LY, Fauzi Marzuki dan Dato’ Acis. Mengetuai keseluruhan proses penjurian sebagai Ketua Juri adalah komposer, arranger, konduktor dan pemain piano jazz terkemuka, Datuk Mokhzani Ismail.

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan