DEWA19 Kotakan Janji 30 Tahun, 30 Kota, 30 Lagu

 


10 September 2022- Bukit Jalil-Oleh: Nazghrul

Mengandingkan empat vokalis yang pernah menjadi tunjang utama kumpulan Dewa 19 sememangnya idea yang baik sebagai kelainan buat peminat. Apatah lagi Ari Lasso, Once Mekel, Virzha dan tunjang terkini, Ello punya kelebihan vokal masing-masing.

Buktinya Konsert Anniversary Tour, 30 Years of Dewa 19 di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 9 September lalu menyaksikan lebih 10,000 peminat yang menggelarkan diri mereka sebagai baladewa dan baladewi sudah lama rindu untuk menyaksikan persembahan dan berkongsi momenindah dengan Dewa 19.

Peminat yang membanjiri lokasi sejak petang seakan-akan tidak sabar menanti konsert bermula., apatah lagi hujan yang melanda ibu kota seolah-olah bukan alasan untuk menyaksikan Dewa 19. Tepat jam 8.30 malam peminat di minta berdiri untuk bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku. Lontaran vokal daripada hadirin yang cukup bertenaga di sirami semangat cintakan negara tidak perlu dipertikaikan.

Usai nyanyian lagu Negaraku, peminat di dalam Axiata bagaikan di serang histeria ketika di paparkan video mapping foto-foto berkenaan Dewa 19 sejak penubuhannya sekitar tahun 1986 sehingga kini. Kemunculan Andra Ramadhan selaku gitaris, Yuke Sampurna selaku bassis, Ahmad Dhani selaku kibordis dan vokalis serta Agung Yudha selaku pemain drum di atas pentas sudah pastinya mengundang sorakan dan tepukan daripada hadirin.

Dewa 19 membuka pentas dengan lagu yang berjudul Format Masa Depan, selepas itu Virzha dan Ello saling menunjukkan kekuatan vokal mereka menerusi lagu Restoe Boemi, I Want To Break Free sebuah lagu saduran daripada kumpulan Queen dan Still I Am Sure Well Love Again. Ahmad Dhani yang sedari awal hanya bertindak sebagai kobordis kini mengambil alih posisi selaku vokalis lantas mendendangkan lagu Cinta Gila yang sudah pastinya mengundang lontaran vokal daripada peminat.


Ello meneruskan kesinambungan dengan beberapa pilihan lagu termasuklah Juliette, Aspirasi Putih, Tak Kan Ada Cinta Yang Lain, Bayang-Bayang serta sebuah lag saduran yang berjudul Careless Whisper yang pernah dipupularkan oleh George Micheal. Apa yang menarik sewaktu Ello menyampaikan lagu ini ialah kerana ianya turut di hiasi dengan tiupan saksafon daripada Richad Hutapea.

Suasana romantis akhirnya bertukar menjadi ceria kerana lontaran lagu Hadapi Dengan Senyuman yang nyata sarat dengan lirikal yang puitis disamping susunan melodi yang cukup indah apatah lagi ianya diterjemahkan dengan lenggok vokal yang cukup padu daripada Ahmad Dhani. Beliau juga turut meminta hadiran agar membuka mode flashlight yang terdapat pada telepon bimbit masing- masing sebelum lagu ini di nyanyikan.


Setelah berehat selama 20 minit pentas di panaskan oleh Once, dan apa yang pasti peminat mula mendakapi Dewa 19 sejak Once bertindak sebagai vokalis. Tidak hairanlah mengapa setiap lagu dambaan Once seperti Roman Picisan, Arjuna, Perempuan Yang Paling Cantik Di Negeriku Indonesia, Dewi, Dua Sedjoli, Lagu Cinta dan Mistikus Cinta terus di nyanyikan bersama oleh peminat yang hadir.

Meskipun sudah lebih 20 buah lagu di hidangkan oleh Dewa 19, peminat yang hadir seakan tidak letih malah dilihat semakin bertambah energinya seiring muzik dan lagu yang di lontarkan. Seketika Ahmad Dhani memetik gitar akustik seraya mengalunkan lagu Sedang Ingin Bercinta.




Kini giliran Ari Lasso mengemudi pentas bersama pendukung Dewa 19 yang lain. Meskipun beliau yang baru sahaja pulih bebas daripada kanser Limfoma namun beliau tetap memberikan persembahan yang terbaik menerusi beberapa lagu antaranya Cintakan Membawamu Kembali, Elang, Aku Di Sini, Satu Hati dan Cukup Siti Nurbaya.





Pentas kembali di dominasi oleh Once yang bisa membuatkan seluruh baladewa dan baladewi histeria dengan untaian lagu-lagu seperti Pangeran Cinta, Risalah Hati, Cemburu, Sayap-Sayap Patah dan Pupus. Mungkin peminat tidak menyedari bahawa terdapat 2 set drum yang berada di atas pentas, ianya adalah untuk kegunaan kolabrasi di antara Agung dan Tyo. Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa Agung pernah beraksi bersama band Power Slaves. Dimana kedua-duanya punya energi yang berlainan namun duo ini tetap teguh menjulang panji-panji Dewa 19.

Tirai Konsert Anniversary Tour, 30 Years of Dewa 19 di Axiata Arena, Kuala Lumpur dilabuhkan dengan penyatuan empat vokal iaitu Once, Lasso, Virzha dan Ello menerusi lagu Separuh Nafas. Ternyata konsert yang membawa slogan '30 Tahun, 30 Kota, 30 Lagu' pasti akan menyimpan seribu satu momen buat peminat yang hadir. Biarpun ringkas, namun ia cukup padat dengan makna tersendiri untuk disampaikan kepada peminat.

Konsert Anniversary Tour, 30 Years of Dewa 19 di Axiata Arena, Kuala Lumpur yang dibawakan khas oleh Icon Entertainment itu turut dihidupkan dengan video mapping yang sentiasa melatari setiap lagu yang dipersembahkan. Ianya juga saling melengkapi dengan sistem bunyi yang cukup mengujakan serta limpahan cahaya yang memberi nyawa kepada persembahan Dewa 19.

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan