Lebih 50,000 Pengunjung Saksi Majlis Tandatangan Watikah Pengistiharan Malaysia

 


Oleh: Nazrul-Melaka

Lebih 50,000 pengunjung yang memenuhi Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, Melaka menjadi saksi upacara simbolik menandatangani watikah yang ditandatangani wakil kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak sempena sambutan Hari Malaysia 2022. Kerajaan Persekutuan yang diwakili oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Timbalan Ketua Menteri Sabah II, Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan. Majlis bersejarah itu turut disaksikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Upacara itu adalah acara tradisi setiap kali sambutan Hari Malaysia sebagai simbolik dan memperingati sejarah pembentukan Malaysia hasil gabungan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963. Buku watikah yang diperkenalkan sejak 2010 dan mengandungi kompilasi watikah yang ditandatangani wakil kerajaan Persekutuan, Sabah serta Sarawak pada edisi sambutan Hari Malaysia terdahulu dan buku itu disimpan di Jabatan Arkib Negeri Sabah. Kompilasi dokumentasi bertulis itu sebagai simbolik memperingati dan mengenang sejarah pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara.


Uniknya, kulit buku catatan rasmi perayaan Hari Malaysia itu dihiasi dan dibaluti tenunan bermotifkan corak etnik tempatan Sarawak, Sabah dan Semenanjung yang disaluti emas selain disimpan rapi dalam kotak khas seberat hampir 25 kilogram yang diperbuat daripada kayu jati. Watikah Pemasyhuran Malaysia yang pertama ditandatangani Perdana Menteri pertama dan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj pada 16 September 1963 dalam bahasa Malaysia dengan tulisan jawi serta bahasa Inggeris, ianya kini disimpan di Arkib Negara.

Dalam majlis yang sama, Tan Sri Annuar Musa yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia telah mengatakan bahawa kabinet turut bersetuju agar sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan itu diadakan secara bergilir di setiap negeri. Beliau berkata, langkah itu bagi memberi peluang kepada semua Keluarga Malaysia meraikan sambutan bersejarah itu di negeri masing-masing dan bagi edisi kali ini, Melaka dipilih sebagai tuan rumah.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 berkata, sambutan kali ini berbeza kerana buat pertama kali diadakan di Semenanjung kerana seperti kelaziman Hari Malaysia diadakan di Sabah dan Sarawak secara bergilir-gilir.

Langkah ini diambil kerana kita mahu semua rakyat dapat meraikan sambutan ini dengan meriah di negeri masing-masing atas semangat Keluarga Malaysia selain sama memahami makna tarikh keramat 16 September.



Annuar berharap sambutan Hari Malaysia yang bertemakan Keluarga Malaysia Teguh Bersama dapat dihayati segenap ahli Keluarga Malaysia dan hidup aman damai serta bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan serta penuh kesyukuran.

Beliau berkata, konsep tersebut dalam resipi kekuatan dan kesepaduan yang di anjurkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menjamin kemakmuran Malaysia. Sambutan Hari Malaysia 2022 buat julung kali diadakan di Semenanjung di mana Melaka menjadi tuan rumah. Lebih menarik apabila Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam serta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah diarak menaiki beca bermula dari Hotel Hatten Melaka ke tapak perasmian.


Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan sambutan tahun ini, terutamanya kepada Kerajaan Negeri Melaka dan jawatankuasa terlibat. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Banda Hilir, Melaka pada 16 September lalu.

Persembahan kebudayaan serta penampilan artis tempatan seperti Datuk Jamal Abdillah, Ernie Zakry, Jimmy Palaikat, Roy Kapilla, Kenny Lee dan Datuk Nash turut memeriahkan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.





Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan