Operation Corpse, Tandus, Verminator dan Rythmask Gegar Melaka
Melaka.
Oleh: Nazrul.
Persada muzik ekstrim metal tempatan khususnya di Melaka sekali lagi melakar sejarah tersendiri apabila genre itu akan berkumandang di Warunk Melaka. 3 buah kumpulan akan beraksi di pentas yang pernah di takluki oleh artis-artis mainstream negara.
Gigs anjuran Somber Entertainment mempertaruhkan Operation Corpse, Rythmask, Tandus dan Verminator. Mereka bakal menggegar pentas Warunk Melaka pada 11 Disember ini, persembahan di jangka akan bermula pada jam 8.30 malam.
Nama Operation Corpse mungkin agak asing bagi generasi ‘ekstrim’ sekarang, namun bagi mereka yang membesar sewaktu era awal scene underground sudah pasti jenama Operation Corpse di kenali. Meskipun kurang mendapat liputan di zine – zine underground ketika itu, perjuangan muzik mereka tidak pernah ternoktah.
Pada awal tahun 1989, mereka lebih dahulu menggunakan nama Nuclear Death dan pernah hadir dengan demo berjudul “Nurosis”,sebelum menukar nama kepada Operation Corpse pada tahun 1991 dan mengeluarkan demo kedua yang berjudul “Final Cause Of Creation”.
Mereka kemudiannya terus bergerak dan mendapat tawaran untuk merakamkan album bersama Pony Canyon. Nama Samurai mula digunapakai dan terus kekal sehingga kini. Untuk rekod Samurai pernah menghasilkan 3 buah album dengan Pony Canyon iaitu Pendekar Belantara (2000), Kontrafasia (2001) dan Angker (2003).
Tandus yang tersenarai antara band ‘underground’ popular era 1990-an. Menampilkan konsep ‘old school thrash metal’, kumpulan ini pernah menghasilkan EP berjudul Logam Maut yang diterbitkan Muzik Box Production dengan kerjasama Ultra Hingax Production. Tandus yang sudah 26 tahun ditubuhkan, kembali bergabung menghasilkan album terbaharu berjudul Skuad Pemusnah dan yang pasti mereka tidak akan sesekali menoleh ke belakang. Mereka juga berjanji untuk hadir dengan episode baru yang lebih segar pada tahun hadapan.
Rythmask yang bernadikan nuansa heavy thrash metal dikuasakan dengan 5 orang ahli yang sudah pasti mampu memberikan energi buat penggemar wirama itu. Band yang ditubuhkan di Muar pada tahun 2018 ini dibarisi oleh Varg @ Mohd Ruzi Kojek –Drum, Epul –vokalis ,Amit – gitaris, Ijan –gitaris dan Arman bassis. pernah tampil dengan sebuah EP yang berjudul Saka Simpang Siur.
Verminator yang bertunjangkan nuansa Thrash metal adalah salah sebuah band yang di tubuhkan di Terengganu. Pernah menghasilkan album yang berjudul “Fatal Devastation”.
Kekuatan yang melopori Verminator punya pengalaman yang cukup luas menerusi band-band terdahulu. Dibarisi oleh Neoroth, Yoe Firestorm dan Jim Reinicen yang pernah bernaung bersama Nosferial, Dysgusted, Suffer Remains, Cock Say Cock Dung dan The Lets Go.
Kepada peminat yang ingin menyaksikan persembahan ini anda boleh mendapatkan tiket yang berharga RM40.00 di lokasi konsert di adakan.
Comments
Post a Comment