1 Pentas Dikongsi 2 Legenda Rock Gergasi Dalam “Konsert Revolusi”
Oleh: Zizi Hashim
KUALA LUMPUR 07 MEI 2024- “Liku-liku
perjalanan rintangan ku lalui, Merentas dengan ketabahan cekal dihati, Aku kini
kembali menemuimu lagi, kerana Kau Mekar Di Hatiku Umpama Sekuntum Bunga Di
Padang Pasir…”
Begitulah
petikan dari lirik lagu popular dari 2 legenda rock gergasi ini, memberi sekilas
samar-samar teka-teki yang akhirnya terjawab di sidang media khas bertempat di
1 Shamelin Mall pada petang 4 Mei 2024 baru-baru ini. Sofea Legacy dan SYJ
Pewaris bakal berkongsi pentas. Berita gempar ini dikongsi oleh Mentari Merah
Entertainment selaku penganjur konsert yang berusaha gigih untuk menggabungkan
buat pertama kalinya setelah sekian lama dengan line-up baru yang
diperkenalkan. Dijangka bakal meletup dengan kehadiran rockers sejati, konsert
tanpa henti selama 3 jam yang paling ditunggu-tunggu ini seharusnya ada dalam
senarai konsert wajib hadir tahun 2024 ini.
Diberi
gelar konsert “Revolusi – Sofea Legacy &
SYJ Pewaris” direncanakan berlangsung pada 13 Julai selama 3 jam, memilih
lokasi di Warisan Hall, Sijangkang, Telok Panglima Garang. Turut menampilkan
sebuah band rock Bloodbrothers mengisi slot pembukaan konsert. Setiap band akan
diberikan masa selama 45 minit untuk mengajak crowd sama-sama hangguk
kepala dengan mempersembahkan karya-karya klasik mereka yang penuh nostalgia dan mengimbau memori. Dalam masa yang sama akan turut
memperdengarkan buat julung kalinya lagu-lagu baru bernafas segar ciptaan
terkini dari kedua-dua band lagenda ini.
Antisipasikan
lebih dari 20 buah lagu-lagu seperti “Orang
Timur”, “Bunga Padang Pasir”, “Hati Syaitan”, “Mata Sepet”, “Bungaku Kerinduan”,
“Anak Liar”, “Hujan”, “Bersama Mimpi Dan Airmata”, “Gadis”, “Siksa Bayangan”,
“Ini Nasib Kita” dan banyak lagi akan berkumandang kuat dan megah pada
malam itu, jom beramai-ramai turun memeriahkan mosh-pit dalam pesta 2 legenda rock gergasi yang pastinya bikin
huru-hara dan havoc tahap luar
imaginasi. Bertemakan Rock 80an, rata-rata peminat yang hadir digalakkan
mewujudkan nuansa kegemilangan muzik Rock pada era tersebut.
Ini kerana
istimewanya pada tanggal konsert itu bakal berlangsung nanti, turut diadakan
pertandingan “Pakaian Rockers Terbaik Terpaling Rock” dan cabutan bertuah yang
menawarkan hadiah menarik seperti Kasut Aliph, Fung Keong, barangan elektrik
dan banyak lagi. Jangan ketinggalan untuk turut serta memeriahkan hujung minggu
anda dengan beramai-ramai mengembalikan zaman muzik rock berkuasa seperti era
80an dengan sporting bergaya ala Rockers sejati pada 13 Julai nanti.
Selain Mentari
Merah Entertainment, yang turut berusaha dalam mewujudkan acara rock semeriah ini,
konsert Revolusi ini turut mendapat sokongan padu daripada beberapa pihak
seperti SYJ Entertainment, Aliph, Kokoshka Popcorn, 1 Shamelin Mall, Uptown
Bazaar dan Malaysia Music Scene selaku rakan media rasmi, begitu juga dengan Warisan
Hall Studio selaku penaja lokasi rasmi.
Lebih
menarik lagi pada petang sidang media tersebut, turut diadakan pelancaran album
terbaru SYJ Pewaris yang berjudul “Kembalilah” telah habis dijual sebanyak 300
unit untuk cetakan pertama dan akan kembali diulang-cetak menjelang Konsert
Revolusi nanti. Para peminat bolehlah mendapatkan cetakan kedua di tapak konsert
dengan harga RM45.00 sahaja serta rebut peluang untuk mendapatkan tandatangan
dari SYJ Pewaris sendiri.
“Album
baru kami ini mengandungi 9 buah lagu baru, 7 darinya ciptaan saya sendiri
manakala 2 lagi ciptaan gitaris kami, Jay.” kata Alang selaku vokalis dan ahli
tetap paling lama bersama SYJ sejak 1989 membuka cerita. “Album ini telah
dirakamkan di Brightone Production, memilih pendekatan konsep yang membawa
semula era dan atmosfera Rock 80an yang menyatukan 2 band legenda ini untuk
sama-sama beraksi. Satu pengalaman unik yang khusus buat peminat semua peminat
Rock, itu janji kami.” tambah Alang lagi.
Menjadi
satu-satunya line up asal yang masih tinggal meneruskan legasi sebagai pewaris
generasi akan datang, Alang (SYJ) dan Fancy (Sofea) memikul amanah yang dipertanggungjawabkan
oleh Tuan Syed Yusuf Jamalulail. Pengasas asal SYJ yang berasal dari Ipoh,
Perak ini menggunakan singkatan namanya sendiri untuk menubuhkan band Rock
seawal tahun 1979 lagi. 10 tahun kemudian, Alang telah menyertai SYJ dan dikatakan
layak sebagai pewaris sah SYJ manakala Fancy telah mendapat keizinan hakmilik
Sofea dari Man Rani untuk legasi Sofea setelah meninggalkan SYJ pada tahun
1987.
Sudah
bersediakah anda semua? Untuk semua fans berat muzik Rock, kosongkan jadual
anda pada tarikh 13 Julai, sesuatu yang anda tidak akan dapat 2x, jangan
lepaskan peluang sekali seumur hidup ini. 1 pentas dikongsi 2 legenda gergasi.
“Konsert ini bukan sekadar 1 acara, namun juga kami janjikan sebuah perayaan
legasi yang lahir dari nama keutuhan dan kegemilangan SYJ dan Sofea sepanjang
penglibatan kami dipersada muzik rock tanahair.” tutur Fancy penuh bersemangat.
“Kami ingin penonton yang hadir merasai sendiri feel sebenar konsert Rock dalam semua aspek dengan menyaksikan
sendiri perintis genre ini di atas 1 pentas – malam yang takkan terlupakan.”
Elemen
surprise bakal terwujud apabila kedua-dua band ini bakal bergabung menyanyikan
sebuah lagu bersama-sama pada penghujung konsert. Rata-rata peminat yang hadir
pada sidang media petang itu telah dapat merasakan sedikit sebanyak aura lain
macam untuk konsert kali ini. Setiap ahli line up SYJ dan Sofea komited hadir
pada petang itu demi menjanjikan yang terbaik menjelang 13 Julai nanti.
Pembelian
tiket boleh dilakukan dengan menghubungi Mentari Merah (019-2407994) dan Chip
Malaya (019-6947784) secara langsung. Tiket berharga RM90 sahaja (bagi 100
pembelian terawal akan mendapat poster) manakala Tiket Pakej VIP berharga RM180.
Pakej termasuklah Tshirt, Tag Lanyard, Poster dan Makanan Ringan.
Apa tunggu
lagi? SYJ dan Sofea dah teruja dan tak sabar tu, korang bagaimana?
Comments
Post a Comment