Farasu Merintis Nuansa Baru untuk Metal Nusantara
Farasu yang ditubuhkan pada tahun 2002 berpengalaman mengadakan beratus persembahan pentas di dalam negara manakala sudah 33 kali membuat persembahan di luar negara secara indipendence antaranya Indonesia, Taiwan, China, Singapura dan juga Jepun.
Setelah lama tidak mengadakan persembahan pentas, Farasu bersama penganjur Rockstage Entertainment dengan Kerjasama Rocktone Studio dan Majestica Sembranica Production akan mengadakan showcase istimewa sempena pelancaran album terbaharu Majestica yang bakal berlangsung pada 23 Jun 2024 di Drum Asia, Bandar Sri Hartamas, Kuala Lumpur bermula jam 3 petang hingga 8 malam. Showcase yang dijangka akan mengumpulkan seramai 150 peminat muzik metal ini, lebih cenderung untuk memperkenalkan album ‘Majestica’ dan juga lagu-lagu yang terdapat di dalam album yang terdahulu.
Menurut Pengarah Urusan Rockstage Entertainment dan juga penganjur showcase ini, Encik Talib Othman, beliau merasa teruja untuk mengadakan showcase ini dan secara kebetulan Farasu begitu lama tidak mengadakan persembahan pentas. Farasu akan membuat persembahan selama satu jam lebih dan akan memainkan sebanyak 10 hingga 13 buah lagu.
“Farasu tidak bersendirian tetapi ditemani oleh 3 band selaku supporting act antaranya Sacred Sulphuric, Bunuhdiri dan Miseri Silentium. Ketiga-tiga band tempatan ini dipilih berdasarkan single dan juga album baharu yang mereka telah diriliskan. Peminat juga akan merasai kepelbagaian genre metal dalam showcase itu nanti.
“Alhamdulillah, reaksi peminat juga positif dan kebetulan Farasu sudah agak lama tidak perform show. Ini adalah hadiah Farasu buat peminat-peminatnya.” Kata Talib.
Berkenaan tentang karya terbaharu Farasu yang telah dimuatkan dalam album keempatnya berjudul ‘Majestica’, Talib turut menjelaskan album ini mengandungi 10 buah lagu yang dicipta dan ditulis sepenuhnya oleh Farasu. Ia menyambung kisah-kisah sejarah tua tanahair yang menjadi subjek utama dalam karyanya untuk mengekalkan konsep Metal Nusantara mengikut garapan Farasu. Kisah-kisah tersebut diangkat untuk membawa anak bangsa mendekati persejarahan tanahair agar tidak lupa kepada jati diri selain mencetuskan kelainan dalam muzikal Metal peringkat dunia.
“Insya Allah kami akan mulakan kembali gerak kerja kami untuk tour ke serata Malaysia dan mungkin akan kembali ke Indonesia, Taiwan, Jepun dan mana tahu kita berpeluang ke Negara Eropah juga serta negara-negara yang kami belum pernah jejak lagi.” Ujarnya.
Comments
Post a Comment