Filem Seram Psikologi ‘Geng Kubur’ Ajak Lepak Tepi Kubur
Oleh: Zizi Hashim
Baru-baru
ini berpeluang menonton filem sulung terbitan Iron Hill Media diberi judul Geng
Kubur, saya antisipasikan sebuah filem seram jelmaan banyak hantu-hantu menakutkan
di kawasan perkuburan. Namun jangkaan saya silap, kubur non-muslim yang
digambarkan dalam filem ini tidaklah begitu menakutkan tetapi begitu nyaman
menjadi tempat lepak 4 sekawan yang berkongsi cerita tentang si mati sambil
mengambil iktibar perjalanan hidup setiap manusia. Satu mesej tersirat yang
harus dirungkai.
Mengisahkan
tentang Firhan, Fang Liang, Prem dan Melati yang berkongsi hobi pelik gemar
melepak di tepi kubur, sebenarnya adalah berdasarkan pengalaman sebenar
sutradara filem Gavin Yap sendiri yang dibesarkan dengan suasana persekitaran
perumahan yang berdekatan perkuburan. Jika tiada keberanian berhadapan dengan
suasana mistik dan misteri, hobi ini tidak boleh terlaksana oleh sebarang
orang. Filem yang membuat penonton tertanya-tanya mengapa begini mengapa
begitu, meneka ini meneka itu, mind-game menyesakkan
otak yang sengaja didatangkan dengan skrip mengelirukan.
Tidak
ramai khususnya penonton di Malaysia yang suka berfikir, tidak ramai yang mahu
bersusah-payah mencungkil misteri, sejenis ketakutan ‘lambat terbakar’ yang
harus disertai dengan sabar. Menonton Geng Kubur, saya sedikit ‘tertipu’
apabila nuansa filem seram tipikal di Malaysia yang sering terhidang tidak
muncul-muncul. Tiada jumpscare yang
terlalu banyak seperti kebiasaannya filem seram, antara kelainan yang cuba
ditonjolkan oleh Gavin Yap selaku Pengarah dan Penulis Skrip yang pernah
mengarahkan filem Dendam Pontianak suatu ketika dulu..
Dibintangi
oleh barisan pelakon-pelakon muda seperti Firdaus Suffiyan, Mia Sara Shauki,
Lion Chong dan Sasidaran, serta memperkukuhkan lakonan watak ibu Firhan yang
mati akibat kemalangan jalan raya, cemerlang dibawakan oleh Nadia Aqilah. Mengambil
masa kira-kira 22 hari bagi proses penggambaran di sekitar Hulu Langat, Bandar
Utama dan Kampung Baru pada September 2022, filem yang menelan bajet sebanyak
RM1.2 juta ini diharapkan dapat diterima dan menghiburkan penggemar filem seram
tempatan menjelang tayangan di pawagam seluruh Malaysia bermula 25 April 2024
nanti.
“Selain
elemen seram, antara tarikan dan kelainan filem ini adalah ia mengangkat
tentang tema persahabatan, kekeluargaan dan penerimaan diri.” cerita Michael
Chen selaku Penerbit Eksekutif Iron Hill Media. “Setiap watak utama tidak
menjalani kehidupan yang sempurna dan mereka perlu berhadapan isu yang melanda
diri masing-masing. Boleh dikatakan, ada mesej yang ingin disampaikan kepada
penonton.” ujarnya lagi.
Menonton
Geng Kubur menitip pesan agar sentiasa berhati-hati apabila berada di dalam
hutan belantara kerana besar kemungkinan untuk sesat dan dimanipulasikan oleh
persekitaran dan pertemuan dengan entiti halus yang menyeramkan. Jom tonton
Geng Kubur beramai-ramai, mana tau lepas ini hobi melepak tepi kubur menjadi
kebiasaan yang normal untuk orang kita pula. Jom!
Comments
Post a Comment