Konsert Spektakular ‘Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia’ Temui Peminat 9 Ogos 2024 Ini
Oleh: Zizi Hashim
“Untuk 1
malam sahaja, Ratu Rock Malaysia akan mempersembahkan gabungan unik getaran
karya Rock kreatif bersatu dengan elemen Orkestra dan band. Ini adalah sebagai
tanda penghargaan dari Hitman Solutions dapat berkolaborasi sekali lagi bersama
Ella dalam usaha mencipta sebuah konsert paling istimewa.” tutur Rohit Rampal
selaku CEO dan Pengasas Hitman Solutions berikutan permintaan tinggi dari
peminat-peminat yang masih dahaga untuk menyaksikan Ella beraksi di atas
pentas.
“Bekerjasama
dengan Ella dan pasukan RockQueen adalah satu pengalaman yang amat
mengkagumkan.” sambungnya lagi ketika ditemui pada sidang media eksklusif di
Restoran Rumah Nusantara, Sunway Putra Hotel pada petang 14 Mei 2024. Ella
tampak manis dalam busana blazer merah sentiasa humble menguntum senyum manis di sisi Rohit dan Dato’ Acis selaku Pengarah
Muzik konsert Rockestra itu nanti.
Pada
tanggal 9 Ogos 2024 nanti, bertempat di Plenary Hall Kuala Lumpur, atmosfera
manis bakal melarutkan penonton yang hadir dengan aura karisma, tarikan pesona
dan vokal bersadur emas milik Ratu Rock Malaysia, Ella. Konsert ‘Jilid
Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia’ ini menjanjikan sebuah malam penuh magis
spektakular yang pastinya membuat peminat terasa bagaikan dipukau oleh
kemerduan suara, energi persembahan dan 1001 macam keajaiban yang tak
terungkapkan. Sengaja mencipta thrill
dan vibes keterujaan pada pembeli tiket, Ella lebih banyak bermain teka-teki
dan elemen-elemen surprise dengan
tidak memberi sebarang clue
setiapkali diajukan soalan tentang seperti apakah konsert itu nanti.
Ella, satu
nama besar dalam belantika muzik tanahair, telah mencetak banyak sejarah tersendiri
dan mengumpul himpunan ramai peminat seawal karier bergelar penghibur dan masih
lagi sehinggalah sekarang. Sekadar menyebut nama Ella sudah menerbitkan getar
rasa di jiwa, apatah lagi diperkuatkan dengan seleksi lagu-lagu popular beliau bukanlah
sesuatu yang asing di halwa telinga. Hanya dengan menjadi seorang Ella,
memiliki senjata cukup ampuh membuai emosi dan mengubat kerinduan peminat sejak
konsert terakhir bergenre Orkestra pada tahun 2017.
“Jilid
Rockestra Ella kali ini adalah peluang untuk saya terokai gabungan muzik dari
album-album saya yang dipersembahkan dalam bentuk cukup istimewa iaitu
Orkestra. Saya gabungkan 2 perkara yang saya sayang iaitu satu persembahan
intimasi yang dapat meluangkan masa bersama peminat-peminat tersayang.” kata Ella
mengenai kerjasama terbaharu bersama Hitman Solutions. “Gabungan genre Rock
dengan 15 orang pemain muzik orkestra professional adalah perbezaan dan
kelainan pada konsert ‘Jilid Rockestra’ ini.” Tidak sabar rasanya untuk
menjangkakan apa yang bakal terhidang di hadapan mata kelak.
“Peluang
mempersembahkan kreativiti dalam berkarya dengan penambahan lagu-lagu hits yang
belum sempat dimainkan, kombinasi rock dan orkestra, masih dibawah pimpinan
Pengarah Muzik yang sama iaitu Dato’ Acis. Konsep konsert masih dalam
perbincangan namun keseluruhannya adalah rapi. Dari segi elemen muzik, set
pentas dan fesyen ‘Glam Rock’, semuanya akan kami ambil kira.” cerita Ella
begitu teruja. “Secara keseluruhannya boleh saya rangkumkan dalam satu ayat
“Rockchic Rockestra”.
Mungkinkah
nanti konsert yang dikatakan bakal berdurasi selama 2 jam 30 minit dengan
himpunan lebih kurang 25 buah lagu memperlihatkan sesuatu sisi berbeza Ella? Kena
beli tiket, jangan buang masa. Jangan lupa catat tanggal 9 Ogos 2024 untuk
tidak ketinggalan menjadi saksi kepada ‘Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga
Manusia’ yang akan membawa anda semua terbuai oleh mersik irama cinta dan kasih
sayang yang terluah dalam setiap senikata lagu dan ritma melodi paling istimewa.
“Pasti ada
kejutan artis jemputan istimewa, segmen khas dimana saya akan mendendangkan
beberapa buah lagu asli melayu diiringi tarian. Saya tak mahu kongsi
lebih-lebih, namun saya janjikan ia bakal menjadi spektakular. Semoga ia
menjadi kenangan indah buat semua. Dengarkan muzik saya dengan sajian audio
visual dan pengalaman luarbiasa untuk dikenang. Dan semoga kita kan jadi
seperti dua insan, bercintaaaaaaaa….”
Tiket
untuk menonton konsert ‘Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia’ ini boleh
didapati di www.hitmanlive.com
dengan harga RM148, RM198, RM288, RM388, RM488, RM788 (VIP) dan RM888 (VVIP).
Comments
Post a Comment