‘PERIH JERIH’ MASDO



KUALA LUMPUR, 13 Mei 2024 – Sebut sahaja nama Masdo, pasti muzik era 60-an yang bakal
terbit di benak fikiran, kugiran yang memperjuangkan muzik bernuansa ‘retro vibe’ ini
dianggotai oleh 3 jejaka berbakat, Ali Sariah (vokalis), Putu Ceri (bass) dan Asmawi (gitaris)
kembali dengan single terbaharu berjudul ‘Perih Jerih’ setelah lebih setahun tidak muncul
dengan mana-mana single, hasil ciptaan sepenuhnya oleh mereka bertiga, dan diterbitkan oleh
syarikat rakaman terkemuka tanah air, Warner Music Malaysia.

Kali terakhir Masdo tampil dengan single terbaharu adalah sekitar bulan Julai tahun lalu, “Lagu
‘Pujaanku’ yang turut menampilkan penyanyi Aisyah Aziz tempoh lalu mendapat respon yang
sangat luar biasa dan luar jangkaan dari kebanyakan penggemar muzik di luar sana, kemudian
kami sibuk pula dengan pelbagai persembahan pentas bukan sahaja di Malaysia, malah
menerima jemputan mengadakan persembahan di luar negara seperti Jepun dan juga United
Kingdom”, ujar Ali Sariah.

“Selain single terbaharu, kami kini dalam perancangan menyiapkan album penuh sempena
menyambut ulang tahun penubuhan kami yang ke-10 pada tahun hadapan, sejak 2015. Dan
berkemungkinan besar juga, kami akan mengadakan siri konsert jelajah di sekitar Malaysia,
Indonesia dan Singapura bagi memperkenalkan album baharu kami di konsert 10 tahun
Masdo,” kata Ali Sariah.




Single ‘Perih Jerih’ Video Muzik di Kota London.

Masdo sepakat memerah idea dalam proses pembikinan single Perih Jerih dan mereka
mengambil pendekatan secara ‘workshop’ buat pertama kalinya sebagai sebuah kumpulan.

“Lagu ini membawa maksud ‘susah payah’ yang secara umumnya berkisarkan tentang perasaan
mereka yang kehilangan, pelbagai persoalan yang kadang kalanya tidak dapat dirungkai dengan
alasan yang munasabah, dan pada masa yang sama cuba bangkit dan menjadikan perasaan itu
satu kekuatan untuk meneruskan kehidupan”,
kata Putu Ceri.

Single Perih Jerih yang dihasilkan dalam nuansa pop alternatif ini mengambil masa selama dua
minggu untuk disiapkan sepenuhnya dan menjalani rakaman di studio Bijan Fx Productions,
“Kami menjadikan band The Strokes sebagai rujukan dan pengaruh dalam penghasilan lagu
pada kali ini,”
tambah Putu Ceri lagi.

Menariknya, penggambaran video muzik (MV) Perih Jerih dilakukan di sekitar kota London
dengan berlatarbelakangkan lokasi-lokasi menarik di sana.

“Kami memberi sepenuh kebebasan kepada pengarah berbakat, Aqil Muaz untuk mengarang
konsep serta jalan cerita MV Perih Jerih, dan secara ringkasnya MV ini menceritakan tentang
sebuah pasangan yang terpaksa mengorbankan perasaan dan juga hubungan mereka demi
kebaikan bersama.
“Dan mengapa kota London menjadi pilihan, secara kebetulan ketika itu kami dijemput untuk
membuat persembahan di sana, lantas kami mengambil peluang ini serta memanfaatkan ruang
dan waktu yang ada dengan membuat penggambaran di sana,”
jelas Asmawi.




Masdo Bukan Sekadar Kugiran 60-an.

Sejak awal kemunculan mereka pada tahun 2015, Masdo memperjuangkan muzik retro kerana
meminati karya-karya agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan juga muzik Pop Yeh Yeh,
“Sealiran dengan peredaran zaman, muzik yang kami hasilkan turut mengalami perubahan
dengan tambahan perisa dan olahan agar dapat disesuaikan dengan selera pendengar masa
kini.

“Kami berharap agar lagu ini dapat diterima ramai dan menjadi peneman dalam perjalanan
hidup mereka tidak kira waktu bersedih, bahagia, susah mahupun senang,”
akhiri Putu Ceri.

Lagu ‘Perih Jerih’ boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi
ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui
aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify, Apple Music, KKBox, Deezer dan juga YouTube
Music.

Manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Masdo.

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan