Runut Bunyi Filem ‘Syahadan 2’ Angkat Lagu Etnik Rock ‘Pejuang Abata’ Sebagai Single Dan Muzik Video
Oleh: Zizi Hashim
“Idea
tercetusnya penghasilan runut bunyi lagu “Pejuang
Abata” ini adalah untuk menghebahkan tentang kesinambungan dari filem Syahadan
1 yang dihasilkan pada tahun 2022. Kali ini filem Syahadan 2 akan melibatkan
kolaborasi persilatan dari 2 negara iaitu Malaysia dan Indonesia dimana ianya
melibatkan selebriti persilatan Indonesia yang pernah terlibat dengan
koreografi lagak ngeri untuk Marvel Shang-Chi.” bicara Datuk Fairus Hussain
pada petang 11 Mei 2024 bertempat di Pawagam Mini P. Ramlee, FINAS sempena
Majlis Pelancaran Single dan Muzik Video rasmi nyanyian Amy Zakri.
Filem dan
lagu produksi Trilion Marketing Sdn Bhd ini dijangka akan memulakan
penggambaran pada tahun 2025 diikuti dengan tayangan pada tahun berikutnya.
Lagu berentak Etnik Rock berjudul “Pejuang
Abata” ini diangkat sebagai runut bunyi bagi filem Syahadan 2 arahan
sutradara bersama iaitu Datuk Fairus Hussain dan Halim Hassan. Lagu yang pada
awalnya berkonsepkan Nasyid adalah ciptaan sepenuhnya oleh Panglima,
sememangnya diciptakan khas untuk filem yang bertemakan persilatan.
“Saya
cipta lagu ini setelah menonton filem Syahadan 1 yang pada ketika itu tiada original soundtrack. Jadi saya fikir
kalaulah ada filem ini boleh jadi lebih mantap. Berdasarkan pengalaman dalam
dunia nasyid dan silat, saya buat kombinasi lagu dan lirik lebih ke arah itu.”
cerita Panglima yang lengkap berbusana dan bertanjak serba hitam pada petang
itu. “Saya cipta melodi nasyid ke arah memupuk semangat, saya beri pada Datuk
Fairus dan dia bersetuju untuk guna lagu saya ni.”
Tidak
mengambi masa yang lama, Alan dan Anep berjaya menjadikan lagu catchy dan bernafas segar nyanyian Amy
Zakri itu telah diolah menjadi lebih ke arah genre Etnik Rock, sangat bersesuaian dan serasi dengan tone suara Amy Zakri yang serak-serak
basah. Hanya dengan sekali dengar lagu itu telah berjaya membuatkan ianya lekat
di minda dan lirik yang simple
berulang-ulang menjadikannya mudah dihafal untuk sing-along. Semakin dengar semakin sedap. Meskipun kedengaran agak
moden, elemen muzik melayu tetap terkesan.
Membangkitkan
semangat juang yang tinggi, vokal husky
bersatu dengan riff gitar padu memberi ‘nyawa’ kepada lagu “Pejuang Abata” ini. Amy Zakri merupakan seorang penyanyi yang
pernah muncul dengan single “Lafaz
Seorang Pecinta” pada tahun 2019, mengorak langkah dengan beberapa lagi
lagu seperti “Haluanku”, “Pendusta”
dan “Sejahtera Merdeka”. Tidak tampil
berseorangan, Amy Zakri ditampilkan bersama sebuah band yang berpakaian silat
mengiringi persembahannya menjadikan karya lengkap untuk muzik video arahan
Halim Hassan ini.
Bersesuaian dengan jalan cerita dan mesej yang ingin
disampaikan melalui filem Syahadan 2 ini, mengisahkan tentang karektor utama
bernama Omar menjejaki penceroboh yang cuba membunuh bapanya dengan senjata
yang tercicir sehingga membawanya ke sebuah Kampung Alor Pulai. Ketika Omar
sedang menjalankan siasatannya, secara tidak langsung Omar telah terjebak
dengan satu sindiket modus operandi kanak-kanak hilang dan penjualan organ
didalangi oleh satu kumpulan kongsi gelap antarabangsa. Bermula di situlah
konflik yang akan dipaparkan oleh Syahadan 2 dengan segala ilmu persilatan 2
benua Indonesia dan Malaysia.
Pesilat Negara yang juga Juara Dunia, Al-Jufferi Jamari masih mengekalkan watak hero dalam filem Syahadan 1 disamping beberapa cadangan yang diberikan untuk memberi aura baru dalam filem kesinambungan itu nanti. Antara nama yang dicadangkan adalah Beto Khusairy, namun beliau masih dalam perbincangan dan belum khatam meneliti skrip yang diberikan. Selain itu, turut menampilkan bintang persilatan dari Indonesia iaitu Chintya Chandranaya dan Master Agus Setiawan Jaya, serta Anuar Rahman dan ramai lagi.
Asia Empire Records Malaysia turut bertindak sebagai syarikat rakaman serta pengedar rasmi diseluruh platfom digital. Muzik video rasmi "Pejuang Abata" ditayangkan kepada umum bermula 12 Mei 2024 manakala single ini sudah berada di semua platfom digital rasmi mulai 11 Mei 2024. Berdasarkan liriknya, perjuangan Alif Ba Ta yang membawa maksud ‘Agama, Bangsa dan Tanahair’ ini tentunya memberi semangat juang yang tinggi pada setiap yang mendengar dengan jiwa raga.
Comments
Post a Comment