Subsidi Negara Mencecah RM200,000 Berjaya Diselamatkan



Oleh: Zizi Hashim

SEPANG 17 MEI 2024- Sumber dari maklumat orang awam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor telah menerima satu kes serahan daripada Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas PDRM Bukit Aman melalui Pejabat KPDN Sepang pada 15 Mei 2024 lebih kurang jam 10 pagi. Hasil penerimaan kes serahan ini dilanjutkan tindakan siasatan oleh KPDN Selangor dibawah OPS TIRIS 5.0. Penerimaan serahan kes ini disusuli oleh anggota PenguatKuasa KPDN Selangor dengan kekuatan 7 orang anggota dan bertindak menjalankan pemeriksaan awal.

Terdahulu, PDRM telah melakukan serbuan pada 14 Mei 2024 jam 10 malam di sebuah kawasan lapang terletak di Pulau Meranti, Puchong yang dipercayai dijadikan tempat pemindahan minyak diesel dari kenderaan motor lori kecil atau jenis bonded yang diubahsuai dengan IBC tank berisi bahan api untuk dipindahkan ke dalam badan motor lori jenis kontena. Aktiviti memindah bahan api disyaki diesel telah ditemui ketika serbuan dibuat. Hasil dari serbuan itu telah berjaya menahan 4 orang lelaki sekaligus menghentikan pergerakan serta aktiviti pemindahan.

Susulan itu, siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan tindakan penahanan telah dibuat ke atas 4 individu lelaki warga tempatan berumur lingkungan 43-45 tahun, dipercayai pemandu lori dan kelindan. Kesemua mereka gagal mengemukakan lesen atau sebarang permit kebenaran bagi menyimpan and membawa minyak diesel. Penahanan dibuat bagi keperluan siasatan dan rakaman percakapan. Tindakan reman dengan perintah mahkamah selama 3 hari juga dikenakan ke atas tahanan pada masa yang sama.

Anggaran keseluruhan bahan api disyaki diesel di dalam kes serahan ini adalah sebanyak 98,400 liter dengan anggaran nilai rampasan sejumlah RM211,560.00 manakala anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah mencecah RM400,000.00. Siasatan ini akan memfokuskan untuk mengenalpasti individu atau syarikat serta rantaian pengedaran bekalan minyak diesel subsidi termasuk sumber bekalan minyak diesel subsidi diperoleh dan diedarkan.

“Hasil siasatan awal, kami dapati potensi kesalahan adalah di bawah peruntukan Seksyen 21 AKB 1961 iaitu memilik barang kawalan (diesel) dengan niat melakukan kesalahan dan dibaca bersama Per 3(1) PPKB 1974 iaitu menjalankan urusniaga barang kawalan (diesel) tanpa kebenaran pengawal dan tanpa lesen yang sah.” kata Pengarah KPDN Selangor, Yang Berusaha Tuan Mohd Zuhairi Mat Radey ketika ditemui. “Modus Operandi Baharu ditemui pertama kali dalam kes seleweng diesel iaitu menggunakan Flexi Bag, sejenis storage bag yang diperbuat daripada materialnya bersifat mengembang dan mengecut mengikut bentuk simpanan. Flexi Bag tersebut ditemui diletakkan di dalam lori kontena.” sambungnya lagi.



Tindakan sita kes ini melibatkan sebuah motor lori tanker yang berisi bahan api disyaki diesel dengan anggaran 27,000 liter, sebuah motor lori bonded yang membawa 2 IBC tank berisi bahan api disyaki diesel dengan anggaran 1,400 liter, sebuah motor lori kontena yang berisi bahan api disyaki diesel dengan anggaran 70,000 liter dan peralatan lain seperti motor pump dan hos penyambung yang disyaki digunakan di dalam aktiviti menyedut dan memindahkan bahan api secara tidak sah.

 Kes seleweng diesel ini telah beroperasi selama 2 bulan dengan berselindung di kawasan perindustrian terpencil yang gelap. Mereka memperolehi bahan api diesel tersebut daripada stesen-stesen minyak di kawasan sekitar ketika serbuan dibuat. Pihak PDRM telah menjalankan tugas yang sehabis baik, sebaik sahaja mendapat aduan dari penduduk di situ. Risikan dilakukan selama 2 minggu dari hujung bulan April sebelum bertindak membuat serbuan.

“Kami ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan. Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekal 1961 [Akta 122] dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih Satu Juta Ringgit Malaysia.” Tuan Mohd Zuhairi juga menyeru orang ramai yang mempunya sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi, boleh menyalurkan aduan lengkap kepada pihak Kementerian melalui Whats app 019-848 8000, aplikasi EZ Adu KPDN, Talian Hotline KPDN 1-800-886-800 atau Portal e-aduan.kpdn.



Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan