KONSERT SOLO EKSKLUSIF 5 DEKAD KEMBARA BLUES GANG
Oleh: Norazni Ismail.
KUALA LUMPUR, 14 Jun 2024 – Selepas 50 tahun, Blues Gang akhirnya muncul solo dalam persembahan berskala besar pada malam eksklusif konsert Blues Gang Apo Nak Dikato yang dijadual berlangsung pada 9 Ogos nanti. Utuh memperjuangkan genre blues dan rock sepanjang lima dekad penubuhan mereka, band legenda yang dikenali dengan karya kritis dan berjiwa rakyat itu memilih pentas berprestij Zepp Kuala Lumpur bagi melakar momen bersejarah pada malam anjuran AV Group itu.
Penyanyinya, Ito Mohd berkata konsert ini dianggap sebagai cerminan perjalanan lima dekad Blues Gang pada persembahan yang dinamakan bersempena judul malar segar mereka, Apo Nak Dikato yang dirilis 40 tahun lalu.
“Secara solo, di pentas sebesar ini, konsert Blues Gang Apo Nak Dikato ialah yang pertama selepas 50 tahun. Kali terakhir muncul dalam konsert berskala besar ialah pada Konsert 2 Raksaksa Reunion pada 2011, tapi bersama Sweet Charity. “Ini bukan saja eksklusif Blues Gang, malah boleh dianggap rare selepas 14 album kami. Saya sendiri, secara solo pun memiliki 20 album. Justeru, ini cara terbaik untuk meraikan kembara lima dekad Blues Gang, terutama untuk peminat dan penggemar blues.
“Kenapa Blues Gang Apo Nak Dikato sebagai judul konsert istimewa ini? Ini tidak lain sebagai tribute karya dalam loghat Negeri Sembilan ‘paling power’ kami sepanjang 40 tahun ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Urusan AV Group, Zool Azri Abu Bakar dan Shamsul Effendi Mahammad sebagai rakan kongsi penganjuran konsert ini.
Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato juga menyaksikan Belbis mengendalikan produksi dan penerbit konsert, manakala Mewah Event Management (MEM) dan Itos Cottage Muzik sebagai rakan-rakan strategik, selain Ilassotickets bagi pengurusan tiket. Konsert ini juga mendapat sokongan penajaan daripada PBH Music & BLW sebagai rakan teknikal.
Sebagai penghargaan dan terima kasih Blues Gang kepada peminat yang membeli tiket konsert ini, penganjur dengan berbesar hati akan menghadiahkan beberapa hadiah cabutan bertuah berupa gitar eletrik, keyboard serta banyak cenderahati menarik yang lain kepada pembeli tiket bertuah. PBH Muzik dan BLW Gitar sekali lagi bermurah hati terus menyokong industri muzik Malaysia dengan menaja kesemua hadiah ini nanti.
Pengumuman pemenang bertuah akan dibuat pada hari konsert dan akan disampaikan oleh kumpulan Blues Gang sendiri.
Comments
Post a Comment