Borneo International Halal Exhibition 2024 sasar 100,00 pengunjung.
KOTA KINABALU, SABAH - Seramai 100,000 pengunjung disasarkan bakal memeriahkan Borneo International Halal Exhibition 2024 yang dijadualkan berlangsung bermula 21 sehingga 25 Disember ini.
Program anjuran Bohex Management Sdn Bhd itu akan diadakan bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Pengerusinya, Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan berkata program terbabit bertujuan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan berkaitan halal di kalangan masyarakat.
Menurutnya, antara industri yang terlibat bukan sahaja produk makanan atau minuman tetapi turut merangkumi pendidikan, francais, perbankan Islam, pelancongan Muslim, teknologi makanan dan pembungkusan, bahan ramuan halal, media dan rekreasi, fesyen, perubatan, kosmetik dan sebagainya.
Menurutnya, antara tarikan sepanjang lima hari penganjuran program terbabit adalah seminar berkaitan halal dalam dan luar negara, jualan produk halal, sesi townhall, pertandingan mewarna dan aktiviti lain selain persembahan artis ternama.
"Oleh itu, orang ramai dijemput untuk memeriahkan lagi program itu dimana ia bermula jam 9 pagi sehingga 10 malam dan ini juga merupakan usaha kami untuk meningkatkan kesedaran mengenai perkara berkaitan halal," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan bertempat di SICC, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, menurut pengarah BOHEX Jasnie Mohd Yakub, bersempena majlis penutupan yang dijangka disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, satu konsert BOHEX akan diadakan pada 25 Disember ini yang menampilkan artis terkenal Malaysia dan Indonesia.
Sementara itu, pengerusi BOHEX Asmi Datuk Andi Yakin berkata lebih 650 vendor akan menyertai atau terlibat dalam penganjuran acara itu, termasuk dari Malaysia Barat, Sarawak, serta dari negara lain seperti China, Brunei dan Indonesia.
Pengarah BOHEX Mohd Arieff Hafizi Mohd Hashim turut enambah perkhidmatan bas ulang-alik (shuttle bus) percuma akan disediakan pada hari acara di pusat membeli-belah Imago dan Suria Sabah yang terus menuju ke SICC.
Comments
Post a Comment