Pemain gitar legenda-JOBRANKO DAN YONNYBOII cipta momen indah pada ‘SENTUHAN NADI’
Oleh: Norazni Ismail.
Kuala Lumpur, 04 September 2024 - Kesinambungan daripada kerjasama menerusi lagu Nadi, pemain gitar legenda, Jobranko dan komposer serta penyanyi serba boleh, Yonnyboii, adakan sesi pertemuan eksklusif bersama peminat di acara Sentuhan Nadi, hari ini.
Berlangsung di lokasi ikonik, Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, seramai 20 peminat bertuah berpeluang luangkan masa bersama mereka dari jam 3 petang hingga 6 petang. Semestinya momen intim itu akan membekas dalam hati sebagai kenangan penuh makna.
Sentuhan Nadi tidak lain bertujuan menghargai peminat serta penyokong karier muzik Jobranko dan Yonnyboii selama ini. 20 peminat bertuah itu menjadi tetamu eksklusif terpilih daripada peraduan ‘cover’ lagu Nadi yang diadakan 6 Ogos hingga 28 Ogos lalu.
Peraduan berkenaan dilakukan menerusi media sosial di mana peserta perlu memuat naik cover terbaik Nadi dengan versi sendiri. Mereka juga perlu meletakkan #SentuhanNadi dan #NadiSongCover dalam hantaran video masing-masing.
Acara ini menjadi kemuncak untuk menobatkan siapakah daripada 20 peminat itu akan membawa pulang sebuah gitar istimewa yang siap ditandatangan Jobranko dan Yonnyboii. Gitar itu ditaja Music Bliss Malaysia bersama ERA.
Selepas masing-masing mempamerkan bakat mereka, dapat membawa pulang gitar keramat itu menjadi pulangan paling berbaloi. Apalagi hadiah itu disampaikan sendiri idola mereka secara bertentang mata.
Sentuhan Nadi juga menjadi detik manis buat Jobranko atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 55, dan Yonnyboii atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 26, mendekati peminat setia mereka.
Comments
Post a Comment