3 SELEBRITI ANTARA 18 USAHAWAN WANITA BERPENGARUH MALAYSIA DIIKTIRAF DI MAJLIS MIWE 2024
![]() |
Puan Emma, Dato' Ifa Radziah dan Puan Fauziah Latiff antara penerima pengiktirafan dari Majlis Pengiktirafan Malaysia Influential Women Entrepreneurs (MIWE) 2024. |
Oleh: Norazni Ismail.
SUBANG 26 OKTOBER 2024- Majlis Pengiktirafan Malaysia Influential Women Entrepreneurs (MIWE) 2024 telah berlangsung dengan jayanya pada 26 Oktober 2024 di Geno Hotel Subang Jaya. Majlis yang dianjurkan oleh Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) ini telah mengiktiraf 18 usahawan wanita cemerlang yang telah menunjukkan prestasi membanggakan dalam bidang keusahawanan masing-masing. Antara selebriti yang menrima pengiktirafan adalah Puan Emma, Dato' Ifa Radziah dan Puan Fauziah Latiff.
Program MIWE yang dirancang khusus untuk memperkasakan usahawan wanita di Malaysia ini bukan sahaja bertindak sebagai platform pengiktirafan, malah turut berperanan sebagai medan untuk meningkatkan penjenamaan peribadi dan mengembangkan rangkaian perniagaan. Majlis ini telah mengumpulkan usahawan wanita bersama-sama profesional dari pelbagai industri dan agensi kerajaan, mewujudkan suasana yang memberangsangkan untuk perbincangan bermakna, perkongsian kisah inspirasi, dan peluang jaringan yang berharga.
Majlis tersebut telah diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, YBHG. Tuan Kamal Bin Kormin, Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MYIPO), yang diwakili oleh YBRS. Puan Yusnieza Syarmila Binti Yusof, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) MYIPO. Beliau telah menyampaikan pengiktirafan kepada para penerima anugerah pada majlis tersebut.
![]() |
Seramai 18 usahawan wanita cemerlang menerima pengiktirafan bergambar bersama tetamu VIP. |
Penceramah jemputan yang terdiri daripada Puan Noranisah Binti Abas, Pengarah Pembangunan Perniagaan & Pemasaran MYIPO, dan Cik Nurdiana Abdullah @ Diana Talit, Timbalan Pengarah Bahagian Bantuan Pembangunan, Bahagian Transformasi & Perdagangan Digital, Matrade, telah berkongsi pandangan berharga dan strategi penting untuk kejayaan dalam bidang keusahawanan.
Puan Nur Saimah Binti Saimin selaku Pengerusi MIWE dalam ucapannya berkata, "Sebagai Pengerusi MIWE, saya amat terharu dengan penyertaan yang menggalakkan daripada usahawan wanita dan komuniti perniagaan. MIWE merupakan platform penting untuk memperkasakan wanita dalam bidang keusahawanan, menggalakkan inovasi, dan mewujudkan sinergi dalam kalangan usahawan berpotensi tinggi. Sejak kebelakangan ini, wanita telah memberi sumbangan besar dalam pelbagai sektor, memberi impak kepada pembangunan ekonomi negara kita. Walaupun menghadapi cabaran, kita perlu kekal proaktif dan bekerjasama, menganjurkan program seperti MIWE untuk terus berkembang dan maju dalam persekitaran yang dinamik."
![]() |
Puan Nur Saimah Binti Saimin (Pengerusi MIWE). |
Para pemenang yang diiktiraf terdiri daripada pelbagai latar belakang perniagaan, termasuk industri hiburan, pendidikan, farmasi, undang-undang, kecantikan, dan banyak lagi. Kepelbagaian ini membuktikan bahawa usahawan wanita Malaysia mampu mencapai kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.
Comments
Post a Comment