Majlis Penyampaian Bantuan Bakul Makanan kepada Asnaf dan Bekas Tentera di Masjid Jamek Batu Arang

YBhg. Dato Paduka Nazri Ismail (Master PAME) (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penerima.


Oleh: Norazni Ismail.

Batu Arang, 20 Oktober – Yayasan Kal Venture Group Sdn. Bhd. telah menganjurkan satu majlis penyampaian bantuan bakul makanan kepada golongan asnaf dan bekas tentera bertempat di Masjid Jamek Batu Arang. Seramai 30 penerima telah menerima bantuan daripada yayasan ini, termasuk golongan asnaf dan veteren tentera.

Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato Paduka Nazri Ismail (Master PAME), yang dalam ucapannya mengucapkan syukur atas kejayaan program bantuan ini yang telah mencapai lebih daripada 45 lokasi setakat ini. Beliau menyatakan bahawa matlamat utama Yayasan Kal Venture adalah untuk membantu masyarakat yang kurang berkemampuan, sejajar dengan niat asal penubuhan syarikat itu. 

YBhg. Dato Paduka Nazri Ismail (Master PAME) (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penerima.

"Bantuan asas yang disampaikan dalam program ini berbentuk barangan makanan bernilai RM100 dan wang tunai sebanyak RM100. Namun, bagi kes-kes yang melibatkan penyakit kronik, sumbangan diberikan boleh mencecah ribuan ringgit, bergantung kepada keperluan penerima," kata Dato Paduka Nazri. Setakat ini, lebih 1,200 penerima telah mendapat manfaat daripada program bantuan ini, yang dijalankan setiap minggu di seluruh Semenanjung Malaysia.

Selain itu, penerima bantuan daripada kalangan bekas tentera, Haji Sabri bin Mohd Noor, turut melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas bantuan yang diterima. “Kami, bekas perajurit, berasa cukup gembira dan terharu apabila ada pihak yang masih ingat kepada kami, terutama dalam keadaan yang sukar ini,” katanya.

YBhg. Dato Paduka Nazri Ismail (Master PAME) ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.

Beliau juga berterima kasih kepada pihak Yayasan Kal Venture atas sumbangan yang meringankan beban mereka, terutamanya ketika mereka menghadapi cabaran dalam kehidupan selepas persaraan.

Yayasan Kal Venture berhasrat untuk terus menjalankan program seumpama ini di lebih banyak lokasi, dengan rancangan untuk menyampaikan sumbangan di Melaka pada bulan November dan beberapa kawasan lain yang terjejas oleh bencana seperti banjir di Kedah.

Majlis ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan yayasan tersebut untuk membantu golongan yang memerlukan di seluruh negara.




Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan