NEBIRAS "As The Sky Turns Black" kini diterbitkan semula dalam format Digipak CD selepas 31 tahun pertama kali dikeluarkan.
Oleh: Norazni Ismail.
KUALA LUMPUR 27 OKTOBER 2024- Ini merupakan sejarah menarik tentang album "As The Sky Turns Black" oleh kumpulan Nebiras yang penuh dengan nilai sejarah dalam arena muzik underground Malaysia.
Nebiras bermula pada akhir 1988 di Taman Medan, Petaling Jaya dengan nama asal Necrofist. Logo asal mereka telah direka oleh Aman, penyanyi kumpulan death metal Singapura, Profancer. Mereka mendapat inspirasi daripada kumpulan-kumpulan seperti Sacrifice, Kreator, Sarcofago dan Sodom dalam menghasilkan muzik thrash/death metal mereka.
Album sulung mereka "As The Sky Turns Black" dirakam di Studio BT Production, Subang Jaya pada pertengahan 1992 dengan barisan ahli terdiri daripada Nocturno Belial (vokal), Y. Occultus (gitar), Omen de Nefarious (bass), Agathos Daemon (gitar) dan Mutilated (dram). Album ini mula diterbitkan dalam format kaset melalui Dark Journey Records pada 1993.
Album ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan sehingga habis dijual kira-kira 31 tahun yang lalu. Memandangkan permintaan yang tinggi, album ini telah diterbitkan semula dalam format digipak CD dengan penambahbaikan. Cover album dan logo Nebiras yang asalnya hasil karya Shah Jehan dari kumpulan Rator telah dikemas kini oleh Zul Apache.
Proses pembikinan semula album ini telah dilakukan dengan teliti di mana ia dihantar ke Oslo, Norway untuk proses penukaran dari analog kepada digital oleh Øystein Moe. Proses mastering pula dilakukan oleh AP Filthgrindz di Filthgrindzworks. Album ini merupakan antara karya terawal dalam sejarah muzik underground Malaysia.
Nebiras telah menerima pengaruh yang ketara daripada beberapa kumpulan black metal terkenal seperti Dark Throne, Mayhem, Beherit dan Varathron sepanjang era perkembangan mereka. Walaupun mengalami beberapa perubahan dari segi keahlian, kumpulan ini terus berkembang dan berjaya meraih sokongan yang semakin meluas daripada para peminat sehingga ke hari ini.
Namun, perjalanan kumpulan ini tidak terlepas daripada tragedi apabila pengasas dan pemain gitar asal mereka, Y. Occultus, telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada tahun 1994 ketika usianya masih dalam awal 20-an. Walaupun kehilangan salah seorang ahli penting mereka, kesemua ahli Nebiras yang lain masih kekal hingga ke hari ini.
Menyedari masih wujudnya permintaan yang tinggi terhadap album mini klasik Nebiras, Raziq dan Azrin dari MoonDusk Production telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan semula album tersebut dalam format digipak CD. Usaha ini diharap dapat memenuhi hasrat para peminat yang tidak berkesempatan untuk memiliki album berkenaan pada masa ia mula-mula diterbitkan.
Album ini dijual dengan harga RM35 seunit beserta sekeping poster percuma dan ia juga dicetak dalam kuantiti yang sangat terhad! “As The Sky Tums Black’ versi digipak ini akan berada di pasaran mulai 27 Oktober 2024. Dapatkannya segera di kedai-kedai muzik berhampiran ataupun melalui wakil-wakil distro yang anda percayai.
Comments
Post a Comment