ELLA PELENGKAP KONSERT ROCK NOSTALGIA DI JOHOR BAHRU
![]() |
Mari kita sama-sama meriahkan malam bersejarah ini,"....Ella. |
Oleh: Norazni Ismail.
JOHOR BAHRU 14 NOVEMBER 2024 – Stadium Tertutup Arena Larkin bakal bergegar dengan pembabitan tiga nama besar dalam industri muzik tanah air menerusi konsert mega 'A Night To Remember: Rock Nostalgia' pada 14 Disember 2024. Konsert yang menampilkan legenda rock Ella, Kugiran Masdo dan Exists ini dijangka mengumpulkan lebih 4,000 peminat muzik dari Malaysia dan negara jiran.
Penganjuran konsert ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Coaction Events dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Tourism Johor, sebagai permulaan kepada perkongsian strategik jangka panjang sehingga tahun 2026, sejajar dengan persiapan Tahun Melawat Johor 2026.
Datuk Bandar Johor Bahru, YB Dato' Haji Mohd Noorazam Dato' Haji Osman berkata konsert bertaraf antarabangsa ini membuktikan kesediaan Johor Bahru sebagai destinasi hiburan bertaraf dunia.
"Selain meraikan warisan muzik rock tempatan, penganjuran konsert ini turut memperkukuhkan kedudukan Johor Bahru sebagai hab acara antarabangsa yang dinamik," katanya.
![]() |
Menteri Besar Johor turut hadir ditemani Datuk Bandar MBJB pada masjlis sidang media. |
Sementara itu, Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Bin Abdul Rahim menyifatkan konsert ini sebagai pemangkin kepada siri acara berkualiti menjelang Tahun Melawat Johor 2026.
"Kami yakin acara seumpama ini akan meningkatkan daya tarikan Johor sebagai destinasi pelancongan utama di rantau Asia Tenggara," ujar beliau.
![]() |
Sharil Nizam Bin Abdul Rahim (Pengarah Tourism Johor) ketika memberika kata-kata aluan. |
Ella, yang dikenali sebagai Ratu Rock Malaysia, turut menyuarakan keterujaan beliau untuk beraksi di Johor Bahru dan mengajak peminat untuk turut menghayati tema nostalgia konsert tersebut.
"Saya menjemput semua peminat untuk hadir dengan berpakaian mengikut gaya artis kegemaran masing-masing, sama ada Ella, Masdo atau Exists. Mari kita sama-sama meriahkan malam bersejarah ini," kata Ella.
![]() |
Ella ketika menghadiri majlis sidang media. |
Ketua Eksekutif Coaction Events, David Bareng melahirkan rasa optimis dengan sambutan memberangsangkan yang diterima setakat ini. Beliau turut menyeru peminat muzik dari seluruh rantau, termasuk Singapura dan Kepulauan Riau, untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan konsert bersejarah ini.
"Sambutan awal yang kami terima amat menggalakkan. Ini membuktikan bahawa semangat rock masih membara di Johor Bahru," ujarnya.
![]() |
David Bareng (Ketua Eksekutif Coaction Events) ketika memberi ucapan pada majlis sidang media. |
Maklumat Tiket
- Tarikh: 14 Disember 2024vf
- Tempat: Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru
- Harga: RM99 - RM399
- Pembelian tiket: www.ticket2u.com.my
Comments
Post a Comment