JUALAN TIKET MEMBERANGSANGKAN BAGI AKON THE SUPERFAN TOUR DI MALAYSIA & SINGAPURA
Oleh: Norazni Ismail.
Lima hari menjelang Akon The Superfan Tour Live in Malaysia & Singapore, pihak penganjur berbangga mengumumkan bahawa 70% tiket telah terjual bagi kedua-dua lokasi di Kuala Lumpur dan Singapura. Pengumuman ini dibuat oleh Pengarah Urusan Jeeharris Entertainment, Harris Baba, yang menyatakan rasa terujanya dengan sambutan memberangsangkan ini.
"Saya amat teruja dengan sambutan luar biasa terhadap jualan tiket konsert di Kuala Lumpur dan Singapura. Segala persiapan telah dilakukan dengan teliti dan kami kini hanya menunggu ketibaan Akon untuk persembahan yang dinanti-nantikan," ujar Harris.
Dalam kenyataan yang sama, Harris turut mengucapkan penghargaan kepada Astro Radio yang mana stesen-stesen Era, Hits, Sinar Mix dan Raaga telah menjadi rakan media rasmi, manakala Astro Gempak bertindak sebagai rakan digital rasmi dalam mempromosikan konsert ini.
Bagi persembahan di Malaysia, Jeeharris Entertainment telah menjalin kerjasama dengan Munchie's sebagai penyedia makanan rasmi. Munchie's akan memperkenalkan menu istimewa termasuk burger smashed daging lembu segar dan pelbagai hidangan Western popular seperti ayam goreng dan Burger GCB. Jenama makanan segera yang sedang berkembang pesat ini juga mengumumkan rancangan untuk membuka cawangan baharu di Kuala Lumpur dan Selangor, sambil membuka peluang perniagaan kepada usahawan yang berminat untuk turut serta dalam perkembangan perniagaan mereka.
Dalam aspek pengangkutan pula, EL Car Rental telah dilantik sebagai penaja kenderaan rasmi untuk Akon The Superfan Tour di Kuala Lumpur. Dengan pengalaman lima tahun dalam industri penyewaan kenderaan mewah, syarikat ini akan menyediakan pengangkutan eksklusif untuk Akon dan pasukannya. Portfolio mereka yang merangkumi lebih 150 kenderaan daripada 30 jenama premium telah menjadikan mereka pilihan utama dalam kalangan klien berprofil tinggi, termasuk pihak kerajaan, keluarga diraja, lebih 500 syarikat korporat dan selebriti terkemuka.
Konsert Akon The Superfan Tour akan membuka tirainya pada 19 November 2024 di Mega Star Arena Kuala Lumpur sebelum beralih ke Singapura pada keesokan harinya, 20 November 2024, bertempat di Arena @ Expo Hall 7. Para peminat yang masih belum mendapatkan tiket konsert ini masih berpeluang untuk berbuat demikian melalui laman web www.ticket2u.com bagi konsert di www.sistic.com.sg
Comments
Post a Comment