"Langkah Baru Dalam Karier Dato' Sri Siti Nurhaliza Melalui Single Terbaharu"
Oleh: Norazni Ismail.
Dato' Sri Siti Nurhaliza telah melancarkan single terbarunya bertajuk 'Sejarah', hasil ciptaan maestro muzik Indonesia, Erwin Gutawa. Single ini menandakan detik istimewa dalam perjalanan kerjaya Siti yang bakal mencapai 30 tahun dalam industri muzik.
'Sejarah' merupakan hasil kolaborasi Erwin Gutawa dengan anak perempuannya, Gita Gutawa, yang menulis lirik lagu tersebut. Erwin menyatakan bahawa lagu ini dicipta khas untuk Siti Nurhaliza, dengan mengambil inspirasi daripada keindahan suara dan personaliti penyanyi tersohor itu.
Dalam proses penciptaan lagu ini, Erwin telah mengarahkan Gita untuk menulis lirik yang menggambarkan seseorang yang kaya dengan pengalaman hidup dan mengungkapkan rasa kesyukuran dalam setiap bait. Menambah keistimewaan lagu ini, Erwin telah menggunakan khidmat Czech Symphony Orchestra untuk mengiringi susunan muzik yang digarap khas untuk Siti.
'Sejarah' merupakan hadiah istimewa daripada Siti kepada peminatnya menjelang penghujung tahun 2024, selepas kesibukan beliau mengadakan beberapa siri konsert sepanjang tahun ini. Bagi Siti, lagu ini membawa makna yang tersendiri kerana dapat berkolaborasi semula dengan Erwin Gutawa, di mana beliau sendiri yang meminta Erwin menghasilkan lagu yang menceritakan perjalanan seninya.
"Saya sangat berterima kasih kepada Erwin Gutawa yang sudi menghasilkan sebuah lagu yang sangat menyentuh emosi saya apabila menyanyikannya. Lagu ini seperti saya berada dalam semua fasa perjalanan seni dan satu persatu memori terbayang sewaktu menyampaikannya," kata Siti.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Aubrey Suwito yang telah membantu dalam proses rakaman vokal di Kuala Lumpur. Single terbitan SN Legacy Sdn. Bhd dan Universal Music Sdn Bhd ini boleh didapati di semua platform digital bermula 14 November 2024. Siti berharap single terbarunya ini akan mendapat sambutan hangat daripada peminat.
Comments
Post a Comment