MANGSA SKIM PELABURAN PALSU FACEBOOK RUGI RM3 JUTA



Oleh: Norazni Ismail.

KUALA LUMPUR 04 NOVEMBER 2024- Sepuluh individu telah menjadi mangsa penipuan skim pelaburan saham dalam talian dengan kerugian dianggarkan mencecah RM3 juta. Mangsa-mangsa yang berusia antara 40 hingga 60 tahun telah terpedaya dengan iklan pelaburan yang disebarkan melalui platform Facebook pada Julai lalu.

Pengasas Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN), Joseph Prakash mendedahkan bahawa para mangsa telah dijanjikan pulangan pelaburan yang menggiurkan antara enam hingga 10 peratus daripada jumlah modal yang dilaburkan.

Joseph Prakash-Pengasas Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN).

"Para mangsa telah tampil membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Bank Negara Malaysia, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan yang diambil. Mangsa-mangsa kini berasa tertekan kerana wang pelaburan mereka telah lesap," jelas Joseph dalam sidang media yang diadakan pada hari Ahad.

Salah seorang mangsa yang turut menjelaskan perkara yang menimpa beliau.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa untuk bertindak segera dalam menyiasat kes ini dan mengambil langkah-langkah pencegahan bagi membendung aktiviti penipuan dalam talian. "Kami memohon agar pihak berkuasa dapat menyekat akaun-akaun penipu ini daripada terus beroperasi di Facebook dan platform media sosial yang lain bagi mengelakkan lebih ramai mangsa terpedaya," tambah beliau.

PKIPN akan terus memantau perkembangan kes ini dan memberikan sokongan kepada mangsa-mangsa yang terjejas. Orang ramai diingatkan untuk lebih berwaspada dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat dan sentiasa membuat semakan dengan pihak berkuasa sebelum membuat sebarang pelaburan.

Joseph Prakash-Pengasas Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN)
 ketika menjawab soalan media pada sesi sidang media.


Comments

Popular posts from this blog

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia