PROGRAM BANTUAN VETERAN DAN WARGA B40 ANJURAN KAL VENTURE GROUP SDN BHD AMAT BERMAKNA BUAT PENERIMA BANTUAN.
Oleh: Norazni Ismail.
BANTING, 04 November 2024 - Program bantuan untuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan warga B40 telah berjaya dilaksanakan hasil kerjasama KAL Venture Group Sdn Bhd, Pertubuhan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PTTB) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan Perak di Dewan Seri Mutiara, Banting, Selangor.
Program yang mendapat tajaan penuh daripada Dato' Seri Paduka Nazri Ismail ini telah memberi manfaat kepada 60 penerima yang terdiri daripada bekas anggota tentera dan penduduk Bv40 dari kawasan setempat. Majlis yang berlangsung selama dua jam bermula dari jam 2.30 petang telah dihadiri oleh 100 tetamu.
Setiausaha Agung PTTB, Encik Yakob bin Sukirman dalam ucapannya menyatakan bahawa program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk membantu golongan yang memerlukan, terutamanya bekas anggota tentera yang telah menyumbang bakti kepada negara.
"Program sebegini amat bermakna buat kami dan keluarga," kata Puan Arnyzah binti Narsah dari Kampung Bukit Changgang yang merupakan salah seorang penerima bantuan.
Majlis dimulakan dengan upacara rasmi termasuk nyanyian lagu Negaraku dan bacaan doa, diikuti dengan ucapan-ucapan rasmi. Kemuncak program adalah penyampaian sumbangan bakul makanan kepada para penerima yang telah dikenalpasti sebelum diakhiri dengan jamuan untuk semua yang hadir.
Program ini telah mencapai matlamatnya dalam usaha menyantuni dan membantu golongan yang memerlukan, sekaligus membuktikan kepentingan kerjasama antara sektor korporat dan pertubuhan sosial dalam membantu masyarakat setempat.
Comments
Post a Comment